Anda di sini

Lelaki tumbuk kenalan wanita dikena bon berkelakuan baik selama setahun

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Majistret hari ini mengenakan bon berkelakuan baik selama setahun terhadap seorang lelaki yang menumbuk kenalan wanita, gara-gara mangsa menghalangnya daripada memaksa rakan wanita lain untuk minum minuman beralkohol. 
 
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan Truman Yiin Shih Jen, 36, untuk dikenakan bon berjumlah RM500 (tidak didepositkan) berserta seorang penjamin tempatan.

Tertuduh mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bistro di Jalan Green Hill pada 4 Februari 2023, sekitar jam 2 pagi. 
 
Fakta kes mendedahkan tertuduh naik angin setelah mangsa cuba menghalangnya daripada memaksa seorang rakan wanita lain untuk minum minuman beralkohol.

Tertuduh pada waktu kejadian tiba-tiba berdiri dan menumbuk mangsa di bahagian muka, mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di pipi kiri dan pendarahan hidung.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan, sebelum membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya. 

Tertuduh diwakili peguam Michael Kong dan Sim Kiat Leng.

  • oleh
  • Advertisement