Anda di sini

Lelaki bersalah atas dua tuduhan dadah dipenjara

Advertisement
 

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah atas dua tuduhan memiliki dadah berbahaya.
    
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Randu Rangen setelah meneliti beberapa aspek termasuk rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya, kepentingan awam serta hukuman yang disyorkan oleh mesin kecerdasan buatan (AI).
    
Khairul Anam Shapieka Kamarul Azman, 31, dari Taman Tunku di sini, telah didakwa atas dua tuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama.
    
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapi.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati ada memiliki dadah berbahaya jenis Ketamine seberat 0.21 gram dan Nimetazepam seberat 0.006 gram.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu masing-masing pada jam 6 pagi, 8 Jun tahun ini di tepi jalan Lorong Marina 5/1, Marina ParkCity di sini.
    
Di hadapan mahkamah, tertuduh yang merupakan seorang duda anak dua merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.
    
Bagi kesalahan pertama dan kedua, tertuduh masing-masing dijatuhi hukuman penjara lapan bulan.
    
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan pada 8 Jun lalu.
    
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement