Anda di sini

Ibu bunuh bayi diperintah jalani pemerhatian mental 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang wanita Indonesia yang didakwa atas tuduhan membunuh bayinya yang baru lahir di MJC Batu Kawa di sini pada November lalu, dihantar ke Hospital Sentosa untuk menjalani pemerhatian selama sebulan.

Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Saiful Bahari Adzmi terhadap Jamilah Amin, 23, setelah membenarkan permohonan peguam tertuduh yang memohon anak guamnya dihantar ke hospital tersebut untuk diperiksa.

Peguam Ralph Lee semasa prosiding hari ini memaklumkan mahkamah bahawa Jamilah berkemungkinan tidak waras. 

Oleh itu, seiring dengan Seksyen 342(3) Kanun Tatacara Jenayah (CPC), Ralph memohon Jamilah menjalani pemerhatian di hospital psikiatri selama sebulan.

Saiful seterusnya membenarkan permohonan itu dan menetapkan 22 Januari 2024 untuk sebutan lanjut kes. 

Semasa prosiding hari ini, Jamilah mengaku tidak bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda. 

Jamilah didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 22 November 2023 sekitar jam 9.50 malam di kawasan pembuangan sampah terletak di belakang sebuah kedai makan di MJC Batu Kawa, di sini. 

Sementara itu di Mahkamah Sesyen berasingan, Jamilah juga mengaku tidak bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta sama kerana masuk ke Malaysia tanpa mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah. 

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, selari dengan Saiful, Hakim Afidah Abdul Rahman juga menetapkan kes disebut semula pada 22 Januari 2024 dan sementara menunggu tarikh tersebut, beliau memerintahkan Jamilah ditahan di wad psikiatri. 

Pendakwaan dilakukan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fauzan Zamri dan Timbalan Pendakwa Raya Iezzah Iburdanisha Ibrahim.

Advertisement