Anda di sini

Berjudi di tempat awam, lelaki didenda

Advertisement
 

MIRI: Gara-gara bermain judi di tempat awam, seorang lelaki didenda RM1,000 atau dua minggu penjara oleh Mahkamah Majistret.
    
Sabang Palupung, 52, dari Taman Jelita Avenue off Taman Tunku di sini telah didakwa mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
    
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh telah ditahan pada jam 6.30 petang, 14 Julai lalu di sebuah lot di  Jalan Taman Tunku, Taman Tunku di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki bermain judi jenis judi dalam talian di tempat awam.
    
Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas telefon pintar tertuduh mendapati ia ada memaparkan aplikasi judi dalam talian.
    
Berikutan itu, tertuduh telah ditangkap dan telefon bimbitnya dirampas untuk dijadikan barang kes.
    
Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.
    
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman di hadapan Majistret Randu Rangen manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Advertisement