Anda di sini

Warga emas meninggal dunia selepas dua hari kemalangan

Advertisement
 Keadaan kenderaan jenis MPV dinaiki mangsa selepas kemalangan.
KEMALANGAN: Keadaan kenderaan jenis MPV dinaiki mangsa selepas kemalangan.

PAPAR: Selepas dua hari menerima rawatan di hospital, seorang wanita warga emas yang mengalami kecederaan parah akibat kemalangan di Kilometer 42 Jalan Kimanis - Keningau, di sini meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, mangsa berumur lingkungan 70 tahun terbabit meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu pada jam 12.30 tengah hari.

Katanya dalam kemalangan pada jam 1.30 tengah hari, Sabtu lalu, lapan termasuk pemandu turut cedera bagaimanapun kesemua mangsa berkenaan berada dalam keadaan stabil.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa bersama lapan ahli keluarganya menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah Keningau menuju ke Kota Kinabalu selepas menghadiri majlis perkahwinan di Keningau.

"Kesemua mereka mempunyai pertalian keluarga antara satu sama yang lain dan menurut pemandu apabila kenderaan yang mereka naiki itu sedang menuruni jalan bukit dan berselekoh di lokasi kejadian, kenderaan itu mengalami kerosakan brek. 

"Susulan itu pemandu tidak dapat mengawal kenderaannya dengan baik lalu terbabas ke sebelah kanan dan merempuh tebing bukit di bahu jalan kemudian masuk ke dalam semak," katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurutnya, impak rempuhan di tebing bukit itu menyebabkan kenderaan berkenaan berpusing dan terbalik.

Katanya, pemandu dan lapan penumpang cedera manakala mangsa warga emas cedera di dada dan dibantu keluar daripada kenderaan oleh penumpang yang lain.

"Mangsa warga emas dikejarkan ke Hospital Papar menggunakan ambulans untuk rawatan awal dan kemudiannya dirujuk ke QEH Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan QEH kira-kira jam 12.30 tengah hari, Isnin lalu. Manakala pemandu dan mangsa yang lain dalam keadaan stabil," katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • oleh
  • Advertisement