Anda di sini

Tiga program berkonsepkan Islam dirancang di Limbang tahun depan

Advertisement
Dr Abdul Rahman (dua kiri) menyerahkan hadiah pemain lelaki terbaik kepada Yaakup Mahmud, disaksikan Abdul Rahim (kiri) dan tetamu lain.
Dr Abdul Rahman (dua kiri) menyerahkan hadiah pemain lelaki terbaik kepada Yaakup Mahmud, disaksikan Abdul Rahim (kiri) dan tetamu lain.

LIMBANG: Tiga program utama berkonsepkan keislaman dirancang Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Daerah Limbang untuk diadakan pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata pelaksanaan dan penganjuran program utama di Limbang bukan saja melibatkan  pelancongan, sukan, kebudayaan, tetapi merangkumi program keagamaan.

Jelasnya program keislaman ini satu cara untuk berdakwah, mengukuhkan hubungan persaudaraan dan kerjasama sesama umat Islam selain menarik pengunjung ke daerah itu.

“Kita merancang program pada tahun hadapan ada tiga program besar, iaitu ceramah perdana dan kita sedang berusaha mendapatkan Ustaz Wadi Anuar, kita juga akan mengadakan semula Festival Kesenian Islam dan Program Maulud Nabi, itu program yang besar dan peruntukannya yang besar, selain program keislaman lain, kita akan teruskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Kejohanan Badminton Antara Agensi Islam Limbang di Dewan Kampung Patiambun Limbang, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Daerah Limbang Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosley.

Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menambah pelaksanaan Program Kesenian Islam pada tahun hadapan juga satu platform tepat untuk memartabatkan kesenian-kesenian Islam dan program keagamaan yang mendekatkan diri kepada Allah.

Katanya lagi Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Daerah Limbang akan terus proaktif melaksanakan pelbagai program keislaman dengan menjalin kerjasama rapat bersama agensi kerajaan Islam dan pertubuhan bukan kerajaan Islam (NGO) lain.

Pada program itu, Pasukan Qurra dan Urusetia Saudara Kita merangkul gelaran juara dengan membawa pulang piala, pingat dan wang tunai RM1,000.

Manakala pasukan Sekolah Kebangsaan Limbang yang meraih kedudukan kedua menerima piala, pingat dan wang tunai RM800.

Sementara itu, pasukan Bank Rakyat dan Pasukan Kebajikan Islam Jabatan Kerja Raya Limbang masing-masing terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga dan membawa pulang piala, pingat dan wang tunai RM600.

Sebanyak sembilan pasukan beraksi pada pertandingan tersebut termasuk pasukan daripada Lawas.

  • oleh
  • Advertisement