Anda di sini

Projek awal pembinaan CIQS Serudong kini sedang dijalankan

Advertisement
 Projek pembersihan dan perparitan di kawasan tapak sementara CIQS sedang dijalankan.
TAPAK: Projek pembersihan dan perparitan di kawasan tapak sementara CIQS sedang dijalankan.

TAWAU: Projek pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Serudong, Kalabakan sedang dijalankan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM2.5 juta.

Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, projek awal pembinaan CIQS ini melibatkan tiga kerja iaitu membina jalan akses, pembersihan tapak dan sistem perparitan.

Katanya, kerja-kerja awal termasuklah jalan menuju ke sempadan negara dalam jarak tiga kilometer itu dijangka akan siap pada penghujung bulan ini.

“Projek itu adalah peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini untuk pembinaan CIQS di Sabah.

“Semua peruntukan yang diberikan itu disalurkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi pelaksana adalah Pejabat Daerah Kalabakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, di sini hari ini.

Beliau yang Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan berkata, pihaknya sangat bersyukur kerana pembinaan CIQS di Serudong, Kalabakan akhirnya dapat dilaksanakan.

 Kerja-kerja pembinaan jalan akses dari Pos Imbangan Luis ke sempadan sejauh 3 kilometer dilaksanakan.
PROJEK: Kerja-kerja pembinaan jalan akses dari Pos Imbangan Luis ke sempadan sejauh 3 kilometer dilaksanakan.

Menurutnya, sebelum ini dalam jarak tiga kilometer ke sempadan simanggaris Kalimantan Indonesia dari Pos Imbangan Luis akan mengambil masa lebih tiga jam perjalanan menggunakan pacuan empat roda.

“Namun, sekiranya jalan akses ini siap, kita hanya mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja ke sempadan negara dan tapak CIQS berkenaan.

“Ia juga bagi memudahkan jentera dan lori membawa bahan-bahan binaan untuk projek pembinaan CIQS di Serudong, Kalabakan ini,” katanya.

Sementara itu, katanya, pada 15 Disember depan, satu lawatan daripada pihak KDN ke tapak CIQS akan dilakukan dan sekali gus mengadakan Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di Pejabat Daerah Kalabakan.

“Saya berharap projek pembinaan CIQS di Serudong, Kalabakan ini akan berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, pada 20 Januari lalu, Anwar mengumumkan kelulusan awal berjumlah RM1 bilion untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf prasarana dan keupayaan CIQS di sempadan Sarawak dan Sabah.

Peruntukan tambahan bagi meningkatkan keupayaan CIQS dari segi keselamatan dan prasarana asas seperti jalan raya.

  • oleh
  • Advertisement