Anda di sini

Kerajaan diminta beri peruntukan khas kepada Semporna

Advertisement
 Shafie (tengah) ketika hadir dalam mesyuarat agung berkenaan.
HADIR: Shafie (tengah) ketika hadir dalam mesyuarat agung berkenaan.

SEMPORNA: Kerajaan diminta supaya memberikan peruntukan khas kepada negeri dan daerah yang banyak memberi sumbangan hasil kepada negara khususnya dalam sektor pelancongan.

Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan pusat dan negeri perlu memikirkan untuk membantu membangunkan daerah-daerah yang memberikan pendapatan kepada negara.

Katanya, Semporna adalah antara daerah yang menghasilkan banyak pendapatan dari segi cukai dalam sektor pelancongan di Sabah.

“Ketika ini, kita terpaksa mengeluarkan belanja sendiri bagi membersihkan persekitaran dan membuat jeti untuk kemudahan pelancongan di Semporna.

“Justeru, kita mahukan kerajaan pusat dan negeri dapat mengembalikan sebahagian hasil yang dikutip bagi tujuan pembangunan sektor berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berkata demikian ketika ditemui dalam Mesyuarat Agung Tahunan Parti Warisan (WARISAN), di sini, pada Ahad.

Shafie berkata, kerajaan pusat dan negeri tidak boleh mengabaikan kemudahan infrastruktur di Semporna kerana kemasukan pelancong asing ke daerah ini semakin rancak.

“Saya berharap, ada peruntukan khas diberikan sama ada daripada kerajaan pusat ataupun negeri untuk meningkat kemudahan pelancongan di Semporna,” katanya.

 Shafie bersama semua pemimpin dan ahli Parti WARISAN yang hadir dalam mesyuarat berkenaan.
SAMBUTAN: Shafie bersama semua pemimpin dan ahli Parti WARISAN yang hadir dalam mesyuarat berkenaan.

Ditanya mengenai kekuatan parti WARISAN, beliau berkata, parti yang diterajuinya itu masih mendapat sambutan ramai daripada pemimpin dan ahli akar umbi di seluruh negeri.

Katanya, WARISAN masih kuat dan mempunyai ramai ahli di seluruh negeri kerana mereka mahukan sebuah pentadbiran yang mampu membangunkan negeri ini.

“Jentera kita juga sudah lama bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja.

“Kita juga dalam rangka memperkukuhkan sokongan rakyat di seluruh negeri dengan memberikan fakta-fakta yang jelas dan sahih supaya mereka dapat menilai kepimpinan yang ada ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Shafie yang juga Presiden Parti WARISAN menghargai peruntukan sebanyak 6.5 bilion yang diberikan oleh Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya berharap peruntukan itu dibelanjakan dengan sebaiknya oleh kerajaan negeri dan dapat membangunkan Sabah tanpa sebarang ketirisan.

“Kita tidak mahu projek-projek yang ada ketika ini terbengkalai dan kemudahan asas seperti jalan raya, air serta elektrik masih menghantui rakyat Sabah,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darrel Leiking dan Naib Presiden WARISAN, Datuk Jaujan Sambakong.

  • oleh
  • Advertisement