Anda di sini

Jenazah Abang Abu Bakar selamat dikebumikan di Kuching

Advertisement
Jenazah Abang Abu Bakar disolatkan di Masjid Bahagian Kuching yang diketuai oleh Imam masjid San’ani Fauzi sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam masjid tersebut semalam. - Gambar BERNAMA
Jenazah Abang Abu Bakar disolatkan di Masjid Bahagian Kuching yang diketuai oleh Imam masjid San’ani Fauzi sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam masjid tersebut semalam. - Gambar BERNAMA

KUCHING: Jenazah bekas Menteri Pertahanan Tan Sri Abang Abu Bakar Abang Mustapha selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Bahagian Kuching pukul 6.30 petang semalam.

Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham. 

Abang Abu Bakar, 82, dilaporkan meninggal dunia pada 9.55 pagi tadi akibat komplikasi jantung di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. 

Terdahulu, Imam Masjid Bahagian Kuching San'ani Fauzi mengetuai solat jenazah di masjid berkenaan selepas van membawa jenazah bekas veteran politik Sarawak itu tiba pada 5.50 petang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Sri Tunku Maziah Tunku Mustapha, seorang anak perempuan dan dua anak kembar lelaki.

Bekas Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu itu pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di negeri ini selama dua dekad bagi kawasan Paloh iaitu dari 1981 hingga 1990 dan Kuala Rajang (1990 sehingga 2000). 

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai menteri di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bermula dengan jawatan Timbalan Menteri Pertahanan sehinggalah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 1990 hingga 1999, sebelum dilantik menerajui Kementerian Pertahanan hingga 2003. - BERNAMA

Advertisement