SIBU: Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sibu akan mengadakan program Jualan Agro Madani di Kantin Tu Chong Gin (T-Junction) di Sungai Empawah di sini pada 16 Disember ini.
Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling berkata, program jualan khas dianjurkan bersama pusat khidmatnya dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu berlangsung dari jam 4 hingga 6 petang.
"Barang-barang ditawarkan terdiri daripada beras 2 kilogram, gula, minyak masak, biskut, tepung dan mi segera.
“Sebanyak 200 set terdiri daripada setiap barangan tersebut dijual pada harga RM10," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, memandangkan bilangan set ditawarkan terhad orang ramai digalakkan datang awal bagi mengelak terlepas.
"Ia dijual berdasarkan 'siapa cepat dia dapat', jadi datang awal," katanya sambil menambah satu isi rumah hanya dibenarkan membeli satu set barangan sahaja.