Anda di sini

9,000kg daging penyu bernilai RM4.5 juta dirampas

Advertisement
 Jauteh ketika menunjukkan gambar isi daging penyu yang berjaya dirampas.
SIDANG MEDIA: Jauteh ketika menunjukkan gambar isi daging penyu yang berjaya dirampas.

KOTA KINABALU: Sebanyak 9,000 kilogram (kg) isi daging penyu kering yang dianggarkan bernilai RM4.5 juta dirampas dalam operasi Op Taring Gelora di Mangsee Reef, Kudat, 29 November lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, mengikut anggaran Jabatan Hidupan Liar (JHL), jumlah rampasan kali ini membabitkan sekurang-kurangnya 12,000 ekor penyu ditangkap secara haram.

Katanya, nilai daging penyu yang mencecah harga RM500 sekilogram untuk dijadikan sebagai makanan eksotik itu dipercayai penyumbang kepada aktiviti penangkapan haiwan berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, semua penyu-penyu berkenaan dipercayai ditangkap di perairan laut Sulu dan Laut China Selatan untuk mengimbangi permintaan tinggi di pasaran luar negara.

“Polis percaya, haiwan ini bukan sahaja ditangkap sendiri tetapi turut dibeli daripada beberapa pihak lain sebelum dijual kepada pembeli dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

 Gambar-gambar hasil laut termasuk isi daging penyu yang berjaya dirampas.
RAMPAS: Gambar-gambar hasil laut termasuk isi daging penyu yang berjaya dirampas.

Katanya, dalam operasi sama, polis turut merampas kulit kerang dan siput pelbagai spesis (2 tan), balat susu (90kg), kuda laut (150kg), rumpai laut (80kg), sirip yu (5kg), kerapu (200kg) yang semua dikeringkan.

“Semua hasil laut yang dirampas itu dianggarkan bernilai lebih RM5 juta dan kes berkenaan disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

“Kejayaan rampasan hasil laut berkenaan adalah yang terbesar dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) di Sabah tahun ini,” katanya

Mengulas lanjut berhubung bot yang membawa semua hasil laut berkenaan, Jauteh berkata, pemeriksaan mendapati bot berkenaan didaftarkan di daerah Semporna dan kini ditahan untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, polis juga akan menyiasat sama ada pemilik bot terbabit terlibat secara langsung ataupun disewa oleh pihak lain.

Terdahulu, sebuah bot membawa pelbagai hasil laut yang sudah dikeringkan dan spesis hidupan laut terancam berjaya ditahan, kira-kira jam 11.15 pagi.

Bot berkenaan dinaiki empat individu lelaki yang bertindak terjun ke laut sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum berenang ke kawasan cetek dan menghilangkan diri.

  • oleh
  • Advertisement