Anda di sini

Warga emas parah, kereta terbabas sendiri

Advertisement
 Pasukan bomba berusaha menjalankan operasi mengeluarkan warga emas terbabit.
OPERASI: Pasukan bomba berusaha menjalankan operasi mengeluarkan warga emas terbabit.

KIMANIS: Seorang wanita warga emas parah selepas kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Papar-Keningau, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa berusia 71 tahun mengalami kecederaan parah akibat tersepit di dalam kereta berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis Mohd Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.51 petang.

“Seramai tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat mangsa.

“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati sebuah kereta dipercayai telah terbabas sendiri dan terbalik ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Katanya, terdapat sembilan mangsa terlibat dalam kemalangan itu dan salah seorang daripadanya telah tersepit di bahagian kaki.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba, sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulan.

“Manakala lapan lagi berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mohd Johainin berkata, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kemalangan selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.53 petang.

  • oleh
  • Advertisement