Anda di sini

Cadangan wujudkan kemudahan litar sukan bermotor sedang diteliti: Nizam

Advertisement
 Nizam (dua kanan) ketika merasmikan penubuhan Kelab Sukan Bermotor Kuda Besi, di sini.
RASMI: Nizam (dua kanan) ketika merasmikan penubuhan Kelab Sukan Bermotor Kuda Besi, di sini.

TAWAU: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk mewujudkan kemudahan litar sukan bermotor di Sabah bagi keperluan peminat sukan lasak ini yang semakin mendapat sambutan khususnya belia.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, cadangan dan rancangan untuk kemudahan litar sukan bermotor di negeri ini memang sudah ada.

Katanya, kerajaan negeri menerusi Kementerian Belia dan Sukan sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk pembinaan kemudahan sukan itu akan datang.

“Saya yakin kerajaan negeri sangat menyokong usaha untuk memajukan sukan ini supaya peminatnya dapat beraksi di lokasi yang sah dan selamat.

“Kerajaan negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor komited dalam membantu memajukan atlet dan mutu sukan di Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan penubuhan Kelab Sukan Bermotor Kuda Besi, di sini semalam.

Menurutnya, beliau sendiri mempunyai hasrat dan cita-cita yang tinggi untuk mewujudkan kemudahan litar sukan bermotor di daerah ini.

“Sebenarnya impian saya untuk mewujudkan kemudahan ini sangat kuat dan mudah-mudahan ia akan terlaksana pada masa akan datang.

“Saya mahu memberi ruang dan peluang kepada anak muda khususnya di Tawau supaya mereka dapat menceburkan diri dengan sukan ini dengan lebih serius lagi,” katanya.

 Nizam bersama jawatankuasa dan ahli Kelab Sukan Bermotor Kuda Besi bergambar dalam majlis berkenaan.
ALBUM: Nizam bersama jawatankuasa dan ahli Kelab Sukan Bermotor Kuda Besi bergambar dalam majlis berkenaan.

Mengenai penubuhan kelab Kuda Besi ini pula, Nizam berkata, usaha mendaftarkan kelab ini di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) perlu dipuji.

Katanya, dengan berdaftarnya kelab ini, maka ia sudah menjadi satu pertubuhan yang sah dari segi undang-undang dan boleh menjalankan aktiviti tanpa sebarang halangan.

“Saya difahamkan kelab ini bukan sahaja untuk memenuhi hobi peminat sukan bermotor, tetapi turut melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dan bantuan di daerah ini.

“Saya turut terharu kerana mereka juga telah mengumpul dana untuk disalurkan kepada saudara-saudara kita yang sedang diuji di Palestin ketika ini,” katanya.

Nizam berkata, dia percaya kelab ini dibawah kepimpinan Julaiddy Simon akan lebih maju pada masa akan datang.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua ahli kelab ini kerana berjaya menjadi warganegara yang bertanggungjawab dalam melaksanakan agenda kerajaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement