Anda di sini

Program Kesedaran Kanser di Kg Lago berupaya beri pendedahan kepada masyarakat: Ruslan

Advertisement
 Ruslan menyampaikan sijil penghargaan kepada Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) yang bersama-sama menjayakan Program Kesedaran Kanser di Kg Lago.
SAMPAIKAN: Ruslan menyampaikan sijil penghargaan kepada Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) yang bersama-sama menjayakan Program Kesedaran Kanser di Kg Lago.


BEAUFORT: Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan dan Unit Pembangunan Pemimpin Masyarakat (UPPM) Lumadan telah melaksanakan Program Kesedaran Kanser yang diadakan di Dewan DHRM Kampung Lago, pada Sabtu.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, program yang diadakan itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat terutama di luar bandar mengenai kepentingan pengesanan dan pencegahan awal kanser.


Ia juga secara tidak langsung dapat membantu pesakit untuk mendapatkan rawatan awal, dan masyarakat khususnya wanita tidak boleh memandang ringan perkara itu.


Ruslan turut menyambut baik usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) selama ini yang giat menganjurkan program kesedaran mengenai penyakit kanser di seluruh Sabah.


Justeru, beliau berharap masyarakat setempat khususnya wanita melakukan pemeriksaan lebih kerap seperti yang disarankan bagi membolehkan penyakit itu dikesan lebih awal sekaligus mencegahnya dengan rawatan-rawatan yang disyorkan.


Beliau berharap program-program seumpama itu dapat dilaksanakan dengan kerap terutamanya di kawasan luar bandar bagi memastikan ia dapat memberi manfaat seperti yang disasarkan.

 Ruslan menyampaikan ucapan semasa Program Kesedaran Kanser yang diadakan di Dewan DHRM Kampung Lago.
AMANAT: Ruslan menyampaikan ucapan semasa Program Kesedaran Kanser yang diadakan di Dewan DHRM Kampung Lago.


Turut diadakan Program Derma Darah bagi membantu pihak Hospital Beaufort yang memerlukan bekalan darah, dan berharap masyarakat berkelayakan tampil menjayakan program itu bagi menyelamatkan nyawa-nyawa yang memerlukan bekalan darah.


Selain Program Kesedaran Kanser, turut diadakan Jualan Rahmah di kampung itu bagi membolehkan masyarakat setempat mendapat barangan keperluan harian pada harga yang lebih berbaloi sekaligus meringankan beban penduduk kampung terutama golongan berpendapatan rendah B40.


Jelas Ruslan yang juga ADUN Lumadan, program Jualan Rahmah di kawasan DUN Lumadan akan terus dilaksanakan bagi membolehkan golongan sasar menikmati manfaat yang diperkenalkan kerajaan Madani.


Justeru beliau menggesa pemimpin masyarakat supaya mengenal pasti lokasi-lokasi di DUN Lumadan untuk mengadakan Jualan Rahmah sekaligus memenuhi permintaan daripada masyarakat di beberapa buah kampung.
 

  • oleh
  • Advertisement