KAPIT: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan telah mewujudkan portfolio baharu dalam usaha memperkasakan usahawan Sarawak melalui Ekonomi Digital.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, portfolio baharu yang dinamakan Youth Technopreneur itu akan memfokuskan kepada belia Sarawak di bawah kementerian terbabit.
Jelas beliau, pembangunan Youth Technopreneur bertujuan bagi melengkapkan belia dengan komponen teknologi yang merupakan perniagaan baharu masa kini.
"Saya percaya pihak kementerian akan menyediakan dan merangka program-program yang berimpak tinggi di Sarawak dengan menerapkan inovasi dan teknologi digital dalam kalangan usahawan belia Sarawak.
"Saya juga percaya usahawan belia yang beroperasi melalui kepakaran teknologi akan memudahkan mereka merangka strategi holistik dan mampu membuat keputusan berkaitan perniagaan dilaksanakan," ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis perasmian Hari Belia Sarawak 2023 di Dewan Suarah Kapit di sini, hari ini.
Selari dengan tema Hari Belia tahun ini, 'Belia Maju, Sarawak Makmur,' Abang Johari menyeru golongan itu untuk menanamkan semangat Sarawak 'Agi Idup Agi Ngelaban' yang kekal menjadi azimat pahlawan Sarawak walau di mana mereka berada.
Tegasnya, perjuangan dalam membangun dan memajukan Sarawak masih belum tamat.
"Sarawak termasuk bahagian Kapit telah menyaksikan banyak perubahan sejak mencapai kemerdekaan 60 tahun. Ia dapat dilihat dengan kerancakan pembangunan ketika ini yang memberi manfaat besar buat rakyat.
"Sebab itu, kepada belia-belia, jadikan azimat pahlawan ini bagi bersama-sama kerajaan untuk memperhebatkan Sarawak di peringkat nasional mahupun antarabangsa," katanya.
Di samping itu, Abang Johari turut menekankan mengenai penerapan 'multiculturalism' dalam kalangan belia di Sarawak.
Beliau berkata, bagi memastikan Sarawak Makmur, formula yang perlu diterapkan bagi belia maju adalah belia yang menekankan keharmonian.
"Pada tahun ini, pihak Kementerian Belia dan Sukan Malaysia telah memaklumkan kepada saya konsep perpaduan dan 'multiculturalism' (faham pelbagai budaya) yang wujud di Sarawak sangat kuat.
"Sememangnya saya amat bangga dengan semangat perpaduan, 'multiculturalism' dan keterbukaan yang tinggi terutama dalam kalangan belia sekaligus mengangkat semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.
Hadir sama Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi merangkap Ahli Parlimen Kapit, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu dan kenamaan lain.