Anda di sini

Hari Kanak-Kanak Lahad Datu platform erat silaturahim

Advertisement
 Mizma (dua kiri), Shamsurezal ketika merasmikan sambutan Hari Kanak-Kanak berkenaan.
RASMI: Mizma (dua kiri), Shamsurezal ketika merasmikan sambutan Hari Kanak-Kanak berkenaan.

LAHAD DATU: Sambutan Hari Kanak-Kanak di daerah ini mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga kakitangan hospital dengan penduduk setempat.

Pengarah Hospital Lahad Datu Dr. Andi Shamsurezal Datuk Mohd Sainal berkata, banyak aktiviti menyeronokkan dan bermanfaat dilaksanakan pada sambutan kali ini.

Katanya, semua yang hadir dapat bersuai kenal antara sama yang lain dan menjalankan aktiviti secara bersama.

“Sambutan itu memberi impak yang baik dan dapat mewujudkan hubungan keluarga kakitangan hospital dan masyakarat di daerah ini.

“Selain itu, ia bertujuan untuk meraikan kanak-kanak serta keluarga yang sedang berdepan dengan cabaran penyakit kronik di hospital ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat daerah Lahad Datu, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, sambutan Hari Kanak-Kanak umumnya diraikan di seluruh dunia pada setiap 20 November setiap tahun.

Katanya, ia adalah hari istimewa bagi mempromosi dan memperjuangkan hak kanak-kanak di seluruh dunia tanpa terkecuali.

“Hal ini mengingatkan kita bahawa setiap mereka berhak untuk merasakan masa kanak-kanak yang gembira, selamat, sihat dan sesuai dengan zamannya.

“Tahun ini sambutan Hari Kanak-Kanak diraikan dengan tema ‘Investing in Our Future Means Investing in Our Children,” katanya.

Justeru, Shamsurezal berkata, pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan sambutan Hari Kanak-kanak peringkat daerah melalui Jabatan Pediatrik Hospital Lahad Datu.

Dalam pada itu, katanya, sambutan ini juga merupakan kesempatan bagi pihak Hospital Lahad Datu menghargai keluarga arwah Sharifah Khalilah iaitu seorang jururawat di Unit Neonatal Intensive Care (NICU).

“Beliau telah berkhidmat dan melayani komuniti di Lahad Datu dengan sangat cemerlang dan ia seharusnya dijadikan inspirasi kakitangan lain supaya memberi khidmat kepada masyarakat di daerah ini.

“Pemergian beliau secara tiba-tiba pada 28 Mei lepas sangat mengejutkan dan merupakan satu kehilangan besar bagi ahli keluarga Jabatan Pediatrik,” katanya.

Terdahulu, sambutan Hari Kanak-kanak Daerah Lahad Datu bagi tahun ini telah dirasmikan oleh Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Silam, Datuk Mizma Appehdullah.

  • oleh
  • Advertisement