Anda di sini

65 pelajar tingkatan lima SMK St Patrick diraikan

Advertisement
 Mohamad merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian pelajar, guru dan ibu bapa yang hadir pada majlis Penyerahan Sijil Tamat Tingkatan Lima SMK St Patrick .
ALBUM: Mohamad merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian pelajar, guru dan ibu bapa yang hadir pada majlis Penyerahan Sijil Tamat Tingkatan Lima SMK St Patrick .


MEMBAKUT: Seramai 65 pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint (St) Patrick, Membakut diraikan dalam satu majlis Penyerahan Sijil Tamat Tingkatan Lima yang diadakan penuh istiadat.


Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin yang juga Ahli Parlimen Kimanis.


Mohamad dalam ucapan menghargai kehadiran ibu bapa pada majlis yang penuh bermakna itu dan menyifatkan ia sebagai satu usaha yang bukan sahaja berupaya menyuntik semangat pelajar tetapi juga memberi sokongan moral kepada anak-anak untuk meraih kejayaan.


Walaupun perjuangan belum tamat, beliau berkata program yang diadakan itu sekurang-kurangnya dapat memberi motivasi kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.


"Tahniah kepada barisan jawatankuasa dan pihak pengurusan SMK St Patrick kerana berjaya melaksanakan majlis bagi meraikan 65 pelajar tingkatan lima bagi sesi 2023-2024.


"Tidak dilupakan juga kepada semua ibu bapa yang hadir bersama-sama pada pagi ini untuk memberikan sokongan moral kepada anak-anak.


"Semoga segala khidmat bakti, pengorbanan dan sokongan yang tuan-tuan dan puan-puan berikan akan mendapat restu daripada Tuhan dalam melahirkan generasi muda yang cemerlang dan seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, " katanya.

 Mohamad menyampaikan Sijil Tamat Tingkatan Lima kepada salah seorang pelajar sempena majlis itu.
SAMPAIKAN: Mohamad menyampaikan Sijil Tamat Tingkatan Lima kepada salah seorang pelajar sempena majlis itu.


Dalam pada itu, Mohamad turut memuji pihak sekolah kerana telah mencatatkan keputusan SPM yang cemerlang dengan catatan Gred Purata Sekolah 4.45 yang melayakkan semua calon mendapat sijil SPM atau lulus 100 peratus.


"Berdasarkan analisis prestasi peperiksaan SPM SMK St Patrick pada tahun 2022, sekolah ini juga telah berjaya melahirkan pelajar yang mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang sukan dan koakademik di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.


"Antaranya, Johan dan Naib Johan Pertandingan Cabaran Bandar Pintar Techlympics Peringkat Negeri Sabah, Johan Pertandingan Redbrick Malaysia Techlympics Peringkat Negeri Sabah, Johan Pertandingan Markas Angkasa Malaysia Techlympics Peringkat Kebangsaan, Naib Johan International Global Young Changemakers Video Competition, Pingat Emas Pertandingan Inovasi Bahasa Melayu Peringkat Antarabangsa.


"Dan baru-baru ini seramai 19 orang murid telah mewakili negeri Sabah ke Pertandingan Malaysia Techlympics Peringkat Kebangsaan di Putrajaya International Convention Center. Syabas dan tahniah saya ucapkan, " katanya.


Mohamad percaya berdasarkan prestasi dan reputasi baik yang telah dicapai, beliau yakin sekolah itu akan terus cemerlang dan unggul dalam melahirkan generasi yang berpotensi memacu pembangunan negara.


"Saya percaya bahawa penganjuran majlis pada pagi ini akan menyemarakkan motivasi pelajar di samping menjadi pendorong mengukuhkan iltizam untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan diri dalam aspek psikologi dan intelek demi menggapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti, " katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement