Anda di sini

USLA gesa kerajaan lancar projek dokumentasi budaya

Advertisement
RAYMOND
RAYMOND

TUARAN: Persatuan Lotud Bersatu Sabah (USLA) merayu agar kerajaan negeri memperuntukkan sebahagian daripada Belanjawan 2024 bagi pelaksanaan dokumentasi budaya yang dilihat sangat mendesak.

Presiden USLA, Datuk Raymond Tombung menyatakan keperluan untuk merakam warisan budaya orang asal Sabah adalah penting memandangkan para pengamalnya semakin berkurang kini.

"Keperluan yang paling mendesak adalah usaha merakam mantera tradisional atau rina’it para bobohizans atau dipanggil tantagas dalam budaya Lotud.

“Pada masa ini, hanya sedikit golongan tantagas yang masih hidup dan tidak lama lagi tiada lagi yang tinggal untuk menzikirkan mantera kuno yang menjadi sebahagian daripada kehidupan pribumi sejak zaman purba,” katanya.

Beliau berkata generasi baharu kini mungkin mempunyai agama dengan kepercayaan rohani yang berbeza tetapi para tantagas terbabit layak mendapat penghormatan dan penghargaaan kerana pertalian mereka dengan masa lampau yang sudah jauh di belakang dan dilupakan.

"Walaupun generasi muda kini sudah menukar kepada agama baharu, kecekapan bahasa dan spiritual yang kuno dari para tantagas itu adalah sumber pengetahuan yang kaya bagi kita di zaman moden.

“Secara khusus, rina’it mereka adalah bahasa yang mengandungi banyak perkataan yang indah, luar biasa dan mistik, sekiranya dikaji dan direkodkan, pasti akan memperkaya bahasa ibunda moden,” katanya.

Raymond menekankan bahasa ibunda kini semakin lenyap kerana digantikan oleh Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, usaha untuk mengekalkannya perlu diperkukuh dengan mengambil banyak perkataan dan ungkapan yang indah dari rina’it terbabit.

"Penghidupan semula seni tradisional seperti kraftangan, muzik dan tarian adalah mudah, tetapi apabila bahasa sudah hilang maka hampir mustahil untuk dihidupkan semula.

“Oleh itu, terdapat keperluan yang mendesak untuk mendokumentasikan rina’it tantagas bagi memperkukuhkan usaha-usaha pemuliharaan bahasa yang sedang berjalan di beberapa kawasan di Sabah.

“Kerja mendokumentasi ini memerlukan banyak tenaga, mengambil masa yang lama sehingga bertahun-tahun dan sangat mahal untuk dilakukan oleh orang-orang bukan profesional,” katanya.

Tambahnya faktor inilah mengapa mengapa kerja penting ini dilakukan hanya secara tidak konsisten, malah terabai sejak begitu lama.

“Oleh kerana itu, peranan kerajaan untuk mendokumentasi warisan budaya, mungkin melalui Lembaga Kebudayaan Negeri, adalah penting dalam melancarkan projek penyelidikan penuh yang dibiayai oleh kerajaan negeri, secara jangka panjang,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement