Anda di sini

MAQIS rampas hasil pertanian tanpa permit

Advertisement
 Rampasan buah mangga segar, dua anak pokok mangga dan satu anak pokok mata kucing yang tidak mempunyai permit import yang sah untuk dibawa masuk ke sini.
RAMPAS: Rampasan buah mangga segar, dua anak pokok mangga dan satu anak pokok mata kucing yang tidak mempunyai permit import yang sah untuk dibawa masuk ke sini.

LABUAN: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Labuan merampas hasil pertanian yang dibawa masuk tanpa permit import yang sah ke sini.

Antara yang dirampas adalah 8.36 kilogram buah mangga segar, dua anak pokok mangga dan satu anak pokok mata kucing.

MAQIS dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam berkata, kesemua hasil pertanian berkenaan dibawa masuk oleh penumpang dari Brunei.

Katanya, semua hasil pertanian itu dibawa masuk tanpa permit import yang sah di Pintu Masuk Terminal Feri Antarabangsa Penumpang Wilayah Persekutuan Labuan, pada 21 November lalu.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai MAQIS mendapati hasilan pertanian ini dibawa dengan menggunakan hand carry.

"Hasilan pertanian itu dibawa tanpa sebarang dokumen pengimportan seperti Permit Import MAQIS dan Sijil Fitosanitasi," katanya.

Menurutnya, nilai rampasan barangan ini dianggarkan RM145 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, walaupun nilai rampasan rendah namun risiko kemasukan perosak bersama dengan komoditi yang disita boleh menjejaskan industri pertanian negara.

"Rampasan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya," katanya.

Sehubungan itu, MAQIS menegaskan, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperluaskan di semua pintu masuk

negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian yang masuk ke negara

ini.

Katanya, ia bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikro organisma yang diimport ke negara ini bebas dari ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

  • oleh
  • Advertisement