Anda di sini

KPLBS pandang serius kes meniru reka bentuk Rumah Mesra SMJ

Advertisement
JAHID
JAHID

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) memandang serius perbuatan pihak ketiga yang cuba menggunakan reka bentuk Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi tujuan komersil.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim berkata, hasil dapatan carian di media sosial, pihak KPLBS mendapati terdapat cubaan untuk meniru reka bentuk program Rumah Mesra SMJ itu.

"Kita mendapati terdapat pihak lain menggunakan reka bentuk dan skim warna serupa dengan program Rumah Mesra SMJ yang merupakan inisiatif kerajaan negeri.

"Pihak kementerian memandang serius perkara ini kerana ia akan mengundang kekeliruan dalam kalangan orang awam ke atas program Rumah Mesra SMJ.

"Sekiranya perkara ini dibiarkan, sudah tentu ia boleh mencetus kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam berhubung inisiatif program Rumah Mersa SMJ, yang mana tujuan kerajaan negeri mewujudkan program ini adalah untuk memberi bantuan rumah secara percuma kepada orang miskin," katanya.

Selain itu katanya, kesannya juga sudah pasti menimbulkan pelbagai spekulasi serta gambaran tidak baik kepada kerajaan di kemudian hari.

Justeru, beliau meminta kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pihak tertentu yang disyaki dengan sengaja mengguna pakai reka bentuk Rumah Mesra SMJ supaya melaporkannya kepada pihak kementerian untuk tindakan selanjutnya.

"Kita berharap pihak tidak bertanggungjawab itu berhenti mengambil kesempatan terhadap reka bentuk Rumah Mesra SMJ, apatah lagi jika bertujuan mengaut keuntungan," katanya.

Untuk rekod, setakat 22 November 2023 lalu, pihak kementerian melalui pejabat-pejabat daerah di seluruh Sabah telah menyiapkan sebanyak 541 unit setakat ini.

Manakala, pelaksaannya masih sedang giat dibuat bagi memenuhi perancangan kerajaan negeri untuk membina sebanyak 1,500 unit Rumah Mesra SMJ di kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah, dengan anggaran kos tahunan sebanyak RM125.6 juta.
 

  • oleh
  • Advertisement