Anda di sini

Tuntutan pemberian khas, pendirian Sabah kekal sama

Advertisement
 Nizam (kanan) bersama Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Peto Galim (kiri) sebelum sidang DUN bermula.
DUN: Nizam (kanan) bersama Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Peto Galim (kiri) sebelum sidang DUN bermula.

KOTA KINABALU: Pendirian kerajaan negeri masih sama berhubung jumlah pemberian khas yang dituntut daripada kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. 

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tuntutan berkenaan dilaksana berdasarkan formula yang termaktub di bawah Seksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, ia bersamaan dengan 40 peratus daripada jumlah hasil bersih yang diperolehi oleh kerajaan Persekutuan dari negeri Sabah. 

"Satu semakan semula pemberian khas perlu diselesaikan dalam tempoh setahun iaitu sebelum 18 Julai 2024. Justeru, dalam jangka masa tempoh setahun, mesti ada keputusan berkaitan perkara ini.

"Berhubung tuntutan 40 peratus atau dua per lima jumlah bersih kutipan hasil, kerajaan perlu membayarnya setelah kerajaan Persekutuan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr. Yusof Yacob (Gagasan Rakyat-Sindumin) mengenai status pelaksanaan mengenai hak-hak Sabah seperti MA63, perkara–perkara yang dipersetujui dan yang mula dilaksanakan pada sidang DUN hari ini.

Nizam berkata, mengenai status pelupusan tanah Persekutuan di Sabah dan Sarawak, satu mekanisme pengembalian tanah yang diberikan Persekutuan turut dipersetujui dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dalam proses mengenal pasti tanah yang boleh dikembalikan.

Setakat ini jelasnya, kerajaan negeri masih meneruskan proses perbincangan, rundingan dan pelaksanaan di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Proses perbincangan, rundingan dan pelaksanaan ini hendaklah melalui beberapa peringkat yang melibatkan aspek perundangan, pentadbiran kewangan, struktur organisasi dan perkara-perkara lain. 

"Antara perkara yang sudah selesai dan dilaksanakan termasuklah pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2); pemberian kuasa (empowerment) mengenai pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada kerajaan negeri Sabah serta penyerahan kuasa ke atas pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada kerajaan negeri.

"Selain itu, penyerahan kuasa kawal selia gas, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sabah sebagai Jabatan Teknikal di bawah AP182," katanya.

Nizam berkata, perkara lain yang dipersetujui iaitu pelantikan wakil kerajaan negeri sebagai Ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan penyerahan kuasa kawal selia pembekalan elektrik kepada kerajaan negeri pada 3 Januari 2024.

"Kerajaan negeri turut mengemukakan kertas cadangan secara rasmi kepada kerajaan Persekutuan pada bulan Ogos tahun ini berkaitan pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat untuk Sabah dan Sarawak.

"Ia merangkumi 35 peratus wakil dari Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement