Anda di sini

Tindakan pantas PBK selamatkan lebih 300 rumah dari terbakar

Advertisement
 Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di lokasi kejadian.
OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di lokasi kejadian.

KOTA KINABALU: Tindakan pantas Pasukan khas Bomba Komuniti (PBK) Tanjung Aru berjaya menyelamatkan lebih 300 rumah daripada terbakar dalam kejadian di hujung Kampung Tanjung Aru Lama di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri (PPON) Hamsa Isnurdini berkata  panggilan kecemasan berkenaan kebakaran diterima pada jam 12.23 tengah hari.

“Bertindak dengan panggilan, seramai 40 anggota keseluruhan daripada beberapa buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) termasuk Kota Kinabalu, Lintas dan Penampang digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Pada masa sama, seramai 25 anggota PBK Tanjung Aru turut menjalankan tindakan awal dengan melaksanakan operasi mengawal kebakaran di lokasi,” katanya.

Beliau berkata pergerakan jentera bomba ke lokasi berjalan lancar dan tidak dihalang oleh kenderaan yang diletakkan di tepi jalan.

“Perjalanan sejauh tiga kilometer ke lokasi kejadian tidak berhadapan cabaran tinggi kerana waktu kejadian adalah dimana sebahagian besar penduduk sekitarnya sedang bekerja.

“Jika dilihat dari segi keadaan geografi menuju ke lokasi kejadian, laluan jalan raya ke sana agak sempit dan mujurlah tidak banyak kenderaan yang diletakkan di kawasan sepanjang jalan raya dan memudahkan pergerakan jentera ke lokasi,” katanya.

Beliau berkata operasi pemadaman dijalankan menggunakan sumber air terbuka dan sumber air dari jentera dan kebakaran berjaya  dikawal pada jam 1.18 petang.

“Tindakan pantas PBK Tanjung Aru yang baharu ditubuhkan membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengawal dan menghentikan api daripada merebak lebih besar ke kawasan perumahan lain.

“Apa yang diajarkan semasa sesi latihan dapat diaplikasi dalam operasi ini dan segala teknik memadam kebakaran di kawasan perumahan atas air yang dibina berdekatan antara satu sama lain dengan merobohkan rumah bagi mengelakkan daripada terbakar sangat berkesan,” katanya.

Beliau berkata hanya enam rumah termasuk empat musnah sepenuhnya dan dua terbakar 50 peratus musnah dalam kejadian ini manakala lebih 300 yang lain berjaya diselamatkan.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu salah seorang penduduk, Melen Basir yang terselamat dalam kebakaran berkata ketika kejadian dia ingin memakan ubat sebelum terasa bahang panas dan menyedari dinding rumahnya terbakar.

"Saya terus menyedari rumah terbakar dan ketika hendak keluar saya terjatuh kerana lantai licin namun mengkuatkan kudrat untuk keluar menyelamatkan diri.

"Saya hanya sempat membawa beg berisi dokumen penting dan baju yang saya pakai," katanya.

Melen yang mengalami mini strok, turut luka di pergelangan tangan akibat terkena bahang panas dan bernasib baik sempat keluar dari rumah yang musnah terbakar.

Katanya, tiada harta benda yang dapat diselamatkan kerana keadaannya yang agak sukar untuk mengangkat beban berat.

"Suami ketika kejadian sedang bekerja manakala anak buah sekolah.

"Semuanya musnah dan buat masa ini saya diberitahu akan ditempatkan di Balai Raya Tanjung Aru," katanya.

  • oleh
  • Advertisement