KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus memperkasakan fungsi Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) sebagai pusat intelektual dengan pelbagai aktiviti keilmuan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, program-program seperti Jom Baca, Program Membaca Khas Untuk Kanak-Kanak, Pertandingan Bercerita, 'World Play Day', Pesta Buku Sabah, dan Minggu Perpustakaan akan diteruskan pada tahun hadapan.
Selain itu katanya, satu program baharu akan diperkenalkan iaitu Festival Sastera Kanak-Kanak.
Menurutnya, seiring kemudahan perpustakaan yang masih relevan dalam membina masyarakat berilmu, kreatif dan inovatif, kementeriannya melalui PNS bertekad untuk terus menambah baik dan memperluaskan lagi jaringan rangkaian PNS.
"Bangunan perpustakaan awam baharu akan dibina di Kota Marudu dan Perpustakaan Desa Karakit di Pulau Banggi.
"Satu pusat perkhidmatan tambahan baharu iaitu Library@1B juga akan dibuka pusat membeli-belah 1Borneo Hypermall," katanya dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam pada itu jelasnya, setakat ini, Sabah Net Sdn Bhd berjaya menaik taraf perkhidmatan internet di 607 lokasi premis kerajaan negeri bersamaan 81 peratus dengan kelajuan minimum 100Mbps.
Beliau berkata, penaiktarafan itu akan diteruskan lagi di 393 premis secara berfasa yang dijangka siap dilaksanakan pada 2025.
Katanya, 12 daripada 31 Pusat e-Desa juga dinaik taraf menggunakan gentian optik dengan kelajuan minima 300Mbps dan baki 19 pusat lagi akan dilaksanakan secara berfasa.