Anda di sini

KePKAS giat naik taraf pelancongan luar bandar, persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026

Advertisement
CHRISTINA
CHRISTINA

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) giat menaik taraf dan membaik pulih produk-produk pelancongan luar bandar sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia Tahun 2026.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, usaha itu turut mengutamakan kawasan yang menjadi tumpuan pelancong tidak hanya kepada alam semula jadi malah, warisan dan budaya.

Katanya, kerajaan negeri meluluskan peruntukan bernilai RM7 juta bagi pembangunan pelancongan luar bandar yang diberikan secara inklusif merangkumi keperluan dalam bidang pelancongan, budaya dan alam sekitar.

"Kementerian akan memanfaatkan peruntukan ini dengan memastikan keseimbangan  pembangunan dan pemeliharaan kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna yang menjadi aset penting negeri ini.

"Peruntukan keseluruhan sebanyak RM141.91 juta kepada kementerian dan agensi di bawah KePKAS bagi 2024 akan memastikan sektor pelancongan negeri terus berkembang serta alam sekitar dan warisan budaya terpelihara dan dipulihara.

"Saya juga akan memastikan kementerian sentiasa komited menyumbang ke arah pemulihan ekonomi negeri seiring dengan pertumbuhan dan pengukuhan sektor pelancongan secara global dan juga Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ)," katanya dalam ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Beliau berkata, dari aspek ketibaan pelancong, Sabah hampir mencapai sasaran tahun ini. Setakat September 2023, ketibaan pelancong adalah sebanyak 1.88 juta pelancong dengan anggaran perbelanjaan pelancongan berjumlah RM3.95 bilion.

Menurutnya, ia juga satu peningkatan yang amat baik dengan kadar pertumbuhan sebanyak 58.2 peratus berbanding tahun lepas. 

"Peningkatan yang ketara ini didorong oleh jumlah penerbangan ke negeri ini yang kian pulih. Setakat ini, terdapat 317 penerbangan domestik seminggu.

"Bagi penerbangan antarabangsa, sebanyak 98 penerbangan terus ke Kota Kinabalu dalam seminggu daripada 13 destinasi antarabangsa sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa pada April 2022," jelasnya.

Christina berkata, sasaran ketibaan pelancong ke Sabah pada 2024 adalah seramai 2.8 juta orang dan ia dijangka menjana perbelanjaan pelancongan sebanyak RM5.6 bilion.

Katanya, sasaran itu didorong dengan perancangan kementerian untuk mempergiatkan penganjuran acara-acara ikonik dan diiktiraf 
antarabangsa untuk diadakan di negeri ini.

Menurutnya, ia khusus untuk menghidupkan semula acara-acara yang menjadi ikonik kepada negeri ini suatu ketika dulu seperti 'Mount Kinabalu Climbathon' dan juga 'Sabah Fest'.
 

  • oleh
  • Advertisement