Anda di sini

Kutipan hasil negeri meningkat, bantu naik jumlah peruntukan

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Peningkatan kutipan hasil negeri pada 2022 iaitu sebanyak RM6.960 bilion yang juga tertinggi pernah direkodkan membantu meningkatkan jumlah peruntukan tahun ini sebanyak 10.55 peratus kepada RM5.138 bilion.

Pembantu Menteri Kewangan Tan Lee Fatt berkata, peningkatan hasil itu juga membolehkan kerajaan untuk mempertingkatkan usaha menambah baik kemudahan asas dan infrastruktur di Sabah bagi menaik taraf kesejahteraan rakyat. 

Katanya, kerajaan negeri berupaya meningkatkan peruntukan di bawah sektor infrastruktur, pertanian, sosial, pembangunan modal insan, pelancongan, perindustrian, pembangunan wanita dan belia serta pembangunan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

"Jumlah peningkatan peruntukan yang diagihkan pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya adalah sebanyak RM542 juta.

"Ini menunjukkan kerajaan negeri menyediakan belanjawan secara inklusif tanpa mengira kawasan bandar mahupun luar bandar. 

"Kerajaan negeri sememangnya sentiasa komited dalam usaha mensejahterakan rakyat di kawasan luar bandar," katanya bagi menjawab soalan Datuk Hassan A Gani Pg. Amir (Gagasan Rakyat- Sebatik) mengenai impak peningkatan hasil negeri kepada kesejahteraan rakyat khususnya di luar bandar pada sidang DUN hari ini.

Beliau berkata, sebagai contoh, kerajaan negeri menyediakan peruntukan bagi projek penyediaan bekalan air terawat terutamanya bagi penduduk di kawasan luar bandar berjumlah sebanyak RM529.89 juta pada 2021, RM540.98 juta tahun lepas dan dan RM618.88 tahun ini.

Di samping itu katanya, infrastruktur dari aspek penyediaan jaringan jalan raya di kawasan luar bandar juga dipertingkatkan melibatkan kenaikan peruntukan daripada RM295.75 juta pada 2021 kepada RM305.05 juta pada 2022 dan RM360.19 juta untuk 2023.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM118 juta di bawah Projek Pembangunan Kecil turut disediakan bagi merancakkan penyediaan dan pembangunan infrastruktur asas di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Bagi tahun ini, kerajaan negeri mengambil inisiatif tambahan dengan memperuntukkan sejumlah RM188.2 juta dan disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk meneruskan projek ini di setiap DUN.

"Sehubungan itu, fokus agihan hasil tidak disasarkan semata-mata ke kawasan luar bandar sahaja namun agihan ini dibuat secara holistik dan inklusif ke seluruh Sabah," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement