KOTA KINABALU: Lebihan peruntukan tidak terpakai dalam perbelanjaan pembangunan tidak boleh dipandang ringan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah berkaya, ia kerana banyak projek-projek pembangunan untuk rakyat di seluruh negeri tidak sempat dilaksanakan.
"Belanjawan Negeri 2024 RM5.701 bilion dengan anggaran kelebihan RM35.87 juta dengan mengambil pendekatan separa konservatif sebagai langkah persiapan pengucupan ekonomi pada tahun hadapan.
"Terdapat peningkatan 8.7 peratus iaitu RM176.32 juta berbanding tahun lalu 2023. Seperti yang dijangakan tahun 2024, hasil negeri akan mengalami penurunan disebabkan situasi geopolitik dan ekonomi tidak menentu yang dijangka memberi kesan kepada harga komuditi petroleum mentah dan minyak sawit mentah di pasaran global.
"Setelah disemak, dalam tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2022 sehingga tahun 2013, sejumlah besar peruntukan tidak terpakai pada tahun semasa terutama melibatkan perbelanjaan pembangunan," katanya dalam Ucapan Perbahasan Belanjawan Sabah 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Beliau berkata, jika dibandingkan Belanjawan Negeri 2013 iaitu RM5.138 bilion terdapat baki peruntukan sebanyak RM563 juta tidak dibelanjakan.
Katanya, demikian juga Belanjawan Negeri 2022, walaupun RM4.596 Bilion yang telah diluluskan, tetapi terdapat baki yang tidak dibelanjakan sejumlah RM542 juta.
"Akhirnya peruntukan dibawa ke tahun berikutnya...Mungkin wujud birokrasi, jika setiap tahun kerajaan negeri merekodkan baki kewangan yang banyak sudah tentu wujud kelemahan yang ketara di peringkat pelaksana dasar.
"Oleh itu, kita mahukan Menteri Kewangan Sabah meneliti hujung pangkal punca kepincangan ini...sekiranya wujud birokrasi diperingkat kementerian, jabatan pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun, maka tindakan holistik perlu diambil kepada pegawai terbabit yang diamanahkan menjalankan tugas sebagai pelaksana dasar kerajaan.
"Saya berasa hairan, kenapa projek pembangunan rakyat tidak dapat dilaksanakan pada tahun semasa sedangkan peruntukan telah tersedia," katanya.
Beliau menegaskan, sekiranya isu itu tidak ditangani dan diperbetulkan, di mana kerajaan negeri terus mengumpul rekod jumlah kewangan yang tidak dibelanjakan setiap tahun sudah pasti kepincangan itu mencacatkan Halatuju Sabah Maju Jaya.
Masiung juga mencadangkan kerajaan Persekutuan agar menyalurkan lebihan peruntukan pembangunan bagi Sabah ke dalam Akun Amanah.
"Langkah ini bagi memastikan peruntukan yang diumumkan kerajaan Persekutuan untuk perbelanjaan projek pembangunan di Sabah tidak luput sekiranya tidak dibelanjakan pada tahun semasa.
"Setiap tahun peruntukan pembangunan dari kerajaan Persekutuan terpaksa dikembalikan dengan jumlah yang besar kerana tidak sempat dibelanjakan kerana disalurkan pada akhir tahun," katanya.