Anda di sini

Gunakan belanjawan lebihan untuk atasi isu rakyat yang mustahak

Advertisement
JAUJAN
JAUJAN

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disarankan menggunakan belanjawan lebihan sebanyak RM35.87 juta untuk mengatasi isu-isu rakyat yang mustahak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong berkata, gunakan belanjawan lebihan itu untuk memperkasakan keperluan rakyat seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan keterjaminan makanan.

"Apakah inisiatif utama yang dilakukan kementerian berkaitan untuk menjamin keterjaminan makanan kita di Sabah.

"Selain itu, terdapat keperluan untuk mengkaji semula berkaitan dengan pertindihan tugas dalam agensi seperti Ko-Nelayan, Jabatan Perikanan, Safma, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Sabah.

"Agensi ini semua memberikan kemudahan kepada para nelayan tetapi kadang-kadang terdapat individu boleh mendapatkan kemudahan yang sama daripada semua agensi berkenaan.

"Oleh itu, ini perlu disusun semula agar kemudahan yang disediakan dapat dinikmati semua, bukannya hanya kepada pihak tertentu sahaja," katanya dalam Ucapan Perbahasan Belanjawan Sabah 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
 
Selain itu katanya, usaha perlu diperkasakan untuk pemuliharaan hutan bakau kerana kawasan itu juga menjadi sumber makanan kepada masyarakat.

Bagaimanapun katanya, ia tidak diterokai sepenuhnya dan ini juga boleh memberikan jaminan ke arah keterjaminan makanan di Sabah, bukan sahaja makanan seperti padi dan sebagainya.

Jaujan berkata, dalam sektor perindustrian pula, ia diperkasakan bukan sahaja untuk menarik pelaburan tetapi mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah agar mampu mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini.

"Dalam sektor pelancongan pula, Sabah kini sudah diiktiraf mempunyai The Kinabalu UNESCO Global Geopark, ia setaraf dengan Geopark yang terletak di Pulau Jeju Korea dan di China.

"Mungkin kementerian berkaitan perlu mewujudkan rangkaian kerjasama diantara tiga pihak ini untuk mempromosikan Geopark ini. Kebetulan ramai pelancong China dan Korea datang ke Sabah ketika ini.

"Selain itu, peruntukan untuk Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar perlu ditambah untuk program-program promosi dan sebagainya dalam usaha memperkasakan sektor pelancongan di Sabah.

"Sementara itu, China juga telah memberikan pengecualian visa selama 15 hari kepada Malaysia dan ini sudah pasti akan merancakkan pelancongan di negara ini khususnya negeri Sabah.

"Selain itu, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan perlu memikirkan cara untuk mendapatkan cukai pendapatan daripada kedatangan pelancong ini, kerana ini akan menyumbang kepada pendapatan negeri secara keseluruhan," katanya.

Ketika dihubungi, Jaujan mempersoalkan kilang simen yang dibangunkan di Tongod kerana usaha itu akan menjejaskan biodiversiti alam sekitar kawasan itu.

"Apa justifikasi membuat simen di kawasan itu, Tongod adalah kawasan penyelidikan terhadap sumber alam sekitar yang terkenal di dunia ini.

"Proses menghasilkan simen melibatkan bahan kimia dan kesannya sudah pasti akan menjejaskan ekosistem termasuk dalam sungai. Adakah Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sudah dilakukan?.

"Saya setuju industri simen perlu diperkasakan kerana ia akan membangunkan ekonomi Sabah dalam sektor hartanah, tetapi tempat itu tidak sesuai.

"Walaupun ada sumber seperti klinker, bahan ini boleh dibawa keluar dan diproses di kawasan lebih sesuai.

"Selain akan menjejaskan alam sekitar, ia juga akan menjejaskan bekalan elektrik penduduk di sekitar kerana kilang besar seperti itu akan memerlukan kuasa yang besar," katanya.

Untuk Sulabayan katanya, kerajaan diminta untuk menaik taraf klinik kesihatan di Pulau Bum Bum untuk menampung jumlah pesakit yang semakin ramai. 

Katanya, purata kedatangan pesakit untuk daerah Semporna pada 2022 sahaja adalah 157,000 dan dan Tawau seramai 455,453.

Selain itu katanya, balai polis di Pulau Bum-Bum juga perlu menggunakan bangunan kekal berbanding kini hanya menggunakan kontena sahaja.

"Bangunan kekal perlu dibina demi keselesaan para petugas keselamatan yang sudah lima tahun menggunakan kontena sebagai pusat operasi.

"Selain itu, operasi bot pelancongan di Semporna juga perlu mempunyai garis panduan kerana sehingga kini sudah banyak kemalangan berlaku sehingga menyebabkan kematian pelancong," katanya.

Katanya, sudah tiba masanya kerajaan negeri menerusi Jabatan laut Sabah mengambil perhatian laluan bot kini yang semakin sesak. Perlu mempunyai pergerakan bot berjadual dan sistematik.
 
Selain itu katanya, adakah pengguna boleh mengambil tindakan undang-undang berdasarkan Enakmen Bekalan Air 2003 sekiranya pihak tertentu gagal menguruskan pembekalan air dengan baik.

"Perkara yang sama juga sekiranya pengguna jalan raya mengalami kemalangan atau kerosakan disebabkan jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik, adakah mereka boleh mengambil tindakan berdasarkan undang-undang berkaitan untuk menuntut ganti rugi," katanya.

Beliau juga mengucapkan selamat menyambut Hari Natal kepada mereka yang menyambut perayaan ini dan selamat Tahun Baharu kepada rakyat Sabah.

  • oleh
  • Advertisement