Anda di sini

Fokus besar diberikan PMKS adalah tepat

Advertisement
 Ewon (kiri) dan ADUN Kapayan Jannie Lasimbang ketika dalam DUN, hari ini.
BERSIDANG: Ewon (kiri) dan ADUN Kapayan Jannie Lasimbang ketika dalam DUN, hari ini.

KOTA KINABALU: Fokus besar diberikan kepada pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) adalah tindakan tepat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, di peringkat Kerajaan Persekutuan, bermula di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), beliau telah mengutarakan agar kerajaan melaksanakan dasar pandang ke Timur dalam negara dengan memberi tumpuan, fokus tambahan kepada wilayah Borneo bagi pembangunan keusahawanan dan ekonomi.

"Jika Indonesia berwawasan membangunkan ibu kota Nusantara mereka di Kalimantan, jika Sarawak semakin menyerlah dalam pembangunan ekonomi berasaskan kepada teknologi hijau dan industri air, maka sudah tentunya Sabah boleh membangunkan potensi ekonominya bagi mewujudkan sinergi ekonomi Borneo seterusnya menjadikan pulau ini potensi besar pusat ekonomi Asia Pasifik.

"Justeru, kita sama-sama perkasakan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah yang telah ditubuhkan atas cadangan saya di Dewan ini dan tidak lagi menoleh ke belakang. 

"Kita berganding untuk terus membangunkan PMKS di Sabah," katanya dalam Ucapan Perbahasan Belanjawan Sabah 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Ewon yang juga Menteri KUSKOP berkata, di peringkat daerah, beliau ingin mencadangkan mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) diadakan setiap bulan bagi menyelaras, memantau dan menangani pelaksanaan projek-projek pembangunan dengan lebih baik. Mesyuarat itu harus melibatkan Wakil-wakil Rakyat.

Dalam pada itu katanya, pemberian bonus RM2,000 kepada penjawat awam negeri merupakan komiten kerajaan Sabah menghargai peranan mereka dalam menjayakan agenda pembangunan kita. 

Bagaimanapun katanya, pengambilan baharu dalam perkhidmatan awam negeri dan persekutuan di Sabah haruslah mencakupi penyertaan semua kaum dan agama. Ini termasuklah dalam dalam pengisian jawatan ketua-ketua jabatan serta kenaikan pangkat.

"Saya terkilan apabila membaca aduan berkaitan pengambilan baharu kakitangan awam baharu di sebuah jabatan negeri yang tidak menggambarkan kepelbagaian kaum dan agama di Sabah. 

"Untuk ini, saya cadangkan agar pengambilan baharu, kenaikan pangkat dan pengisian ketua jabatan negeri sekurang-kurangnya haruslah berasaskan kepada peratusan demografi kaum dan agama di Sabah," katanya.

Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan atas pelaksanaan projek-projek infrastruktur utama di kawasan Kadamaian, iaitu naik taraf Jalan Tengkurus-Lahanas dan Jalan Nahaba-Sayap yang sedang dilaksanakan.

"Terima kasih juga kerana kerja-kerja naik taraf Jalan Tambulaung-Podos dan jambatan kekal Kampung Kaung yang sedang dalam proses perolehan.

"Apabila siap nanti, kemudahan ini akan menjadi game-changer kepada pembangunan ekonomi, keusahawanan dan pendapatan rakyat di Kadamaian.

"Saya ingin merekodkan permintaan seterusnya iaitu agar kesemua jalan-jalan utama menuju ke kawasan sekolah di Kadamaian yang selebihnya, iaitu Jalan Gaur-Pinolobuh-Mangkulat di mana terdapatnya tiga sekolah yang terlibat iaitu SK Mangkulat, SK Pinolobuh dan SRA Gaur, kemudian Jalan Kebidahan-Takulung yang melibatkan sekolah SK Lasau, Jalan Kaung-Lobong-Lobong yang mencakupi sekolah SK Kaung.

"Jalan-jalan di Melangkap mengarah ke SK Melangkap dan SK Gensurai, Jalan Kg Dundau menuju ke SK Piasau, Jalan Tambatuon ke SK Tambatuon dan Jalan Tiong Komburaon menuju ke SMK Narinang dapat dimasukkan dalam senarai keutamaan negeri bagi pelaksanaan projek rolling plan ke-4 RMK12 atau rolling plan terawal dalam RMK13. 

"Saya juga berharap pelaksanaan projek naik taraf Jalan Mandap-Doluoh-Kinasaraban dapat dipercepatkan," katanya.

Ewon juga mencadangkan projek bekalan air luar bandar dengan membina water intake di Mukim Kebayau dapat diteruskan dengan mengubah nama sedia ada kepada Projek Bekalan Air Luar Bandar Kebayau, bagi membekalkan air terawat kepada Kg Kebayau, Kg Bundu Paka, Kg Purak Ogis, Kg Lingkubang, Kg Melangkap Baru, Kg Melangkap Tomis, Kg Melangkap Tiong, Kg Melangkap Kapa, Kg Melangkap Noriou, Kg Narinang, Kg Sogoh, Kg Tambatuon sebelum dibekalkan kepada kampung-kampung lain termasuk yang berjiran dengan kawasan Kadamaian. 

Dalam pada itu, beliau juga memohon agar penyukatan tanah melalui Program PANTAS diteruskan di kawasan Kadamaian terutama bagi kawasan-kawasan tanah milik anak negeri. 

"Selepas selesainya penyukatan PANTAS dengan sasaran 1,000 lot di Mukim Kiau yang dilaksanakan sejak tahun 2019, saya meminta ianya dilaksanakan di mukim-mukim seterusnya iaitu di Kg Kaung, Kg Lobong-Lobong, Kg Tambatuon, Kg Gensurai, Kg Podos, Kg Melangkap, Kg Sayap, Kg Lasau, Kg Lahanas antaranya.

"Dalam sidang yang lepas semasa pembentangan Belanjawan Tambahan 2023, saya telah meminta agar projek Arena Belia dilaksanakan di Kadamaian pada tahun depan dan penggulungan balas Menteri Kewangan sangat positif ketika itu. Justeru saya berharap ianya dapat dijayakan dan dilaksanakan pada tahun hadapan," katanya.

Ewon juga meminta agar fokus tambahan kepada pembangunan pelancongan di Kadamaian dapat diberikan bukan hanya dalam aspek promosi dan bimbingan, tetapi juga kemudahan infrastruktur asas yang berkaitan serta penganjuran program-program pelancongan utama di Kadamaian. 

Beliau mencadangkan agar kerajaan menjadikan acara Kadamaian Run dan Tamu Besar Kadamaian sebagai acara besar program tahunan kerajaan di Kadamaian.

"Saya mencadangkan agar kerajaan membangunkan laluan baharu mendaki Gunung Kinabalu dari Kg Sayap serta menyediakan kemudahan laluan pendaki ke Gunung Nungkok dari Kg Tambatuon dan Kg Lobong-Lobong. Ini juga akan menjadikan Kadamaian tarikan pelancongan yang kompetitif," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement