Anda di sini

Pengetahuan, kemahiran bantu usahawan kembangkan perniagaan

Advertisement
 Amisah merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian peserta yang menyertai program eUsahawan yang diadakan.
ALBUM: Amisah merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian peserta yang menyertai program eUsahawan yang diadakan.


RANAU: Dunia semakin hari semakin maju dan banyak perubahan dapat dirasai dan antara kemajuan teknologi ialah akses kepada kemudahan internet yang telah menjadi sebahagian daripada keperluan harian.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin berkata, dengan dunia digital ketika ini tidak kira di mana sahaja, pengguna mendapat akses tanpa sempadan hanya di hujung jari sahaja.


Sebagai contoh, sejak penularan pandemik COVID-19 lepas, pembelian secara atas talian amat memberangsangkan dan menjadi platform sehingga ke hari ini untuk membeli belah (shopping).


"Disinilah bermulanya e-Usahawan dan semakin hari terus berkembang kerana pada masa kini ramai yang membeli barangan seperti baju, alat solekan, barang keperluan rumah dan banyak lagi melalui aplikasi-aplikasi dalam talian.

 
"Dengan adanya, program seperti begini kita dapat kenalpasti proses dan cara bagaimana untuk mulakan perniagaan di atas talian, " katanya semasa merasmikan Program e-Usahawan bersama MDEC yang telah dianjurkan oleh Pergerakan Beliawanis Ranau, kelmarin.


Menurut Amisah lagi, bidang e-Usahawan telah menjadi pemangkin kepada perubahan dan perkembangan ekonomi negara terutamanya negara-negara maju dan sedang membangun.


Jelasnya, bidang keusahawanan telah dilihat sebagai bidang yang dapat meningkatkan ekonomi negara, daya saing negara, pendapatan individu, mengatasi masalah kemiskinan, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baru serta meningkatkan kualiti kehidupan.


"Pengetahuan dan kemahiran dalam aplikasi teknologi yang bersesuaian dengan perniagaan mampu meningkatkan produktiviti dan kualiti produk dan perkhidmatan yang diusahakan.


"Oleh itu, usahawan harus mempunyai ketahanan dan kesabaran apabila berdepan dengan cabaran. Mereka perlu bijak dan kreatif dalam mencari solusi apabila berdepan dengan cabaran," katanya.

  • oleh
  • Advertisement