Anda di sini

Dua pasukan TABS layak ke Grand Final Liga Suparimau 2023 di Kuala Lumpur

Advertisement
 Pasukan B12 TABS SAFA Bandaraya merakamkan gambar kenangan bersama jurulatih, pegawai, ibu bapa, Lokman dan Amsir.
ALBUM: Pasukan B12 TABS SAFA Bandaraya merakamkan gambar kenangan bersama jurulatih, pegawai, ibu bapa, Lokman dan Amsir.


KOTA KINABALU: Dua pasukan TABS SAFA Bandaraya, B16 dan B12 akan mewakili zon Sabah ke pertandingan akhir Liga Suparimau 2023 di Kuala Lumpur pada pertengahan bulan depan.


Pasukan B16 yang menggunakan nama TABS Tigers menewaskan pasukan adik mereka, TABS SAFA Bandaraya 1-0 dalam perlawanan penentuan kelayakan di padang sintetik Kompleks Sukan Likas, pagi Ahad.


Dalam kategori B12, TABS SAFA Bandaraya menewaskan SK Likas 3-1 menerusi sepakan penalti dalam perlawanan pusingan kelayakan selepas seri 1-1 dalam perlawanan sepenuh masa.


Manakala dalam kategori B14, pasukan KKFC akan mewakili zon Sabah ke grand final.


Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi kedua-dua pasukan, B16 dan B12 kerana telah menunjukkan kesungguhan mereka untuk memenangi perlawanan masing-masing dalam pusingan kelayakan.


Katanya, semangat tinggi dalam kalangan pemain dapat memastikan mereka mampu mengharungi cabaran untuk melayakkan diri ke grand final di ibu negara.


"Secara keseluruhan kejayaan ini mencerminkan kesungguhan dan kerja keras para pemain sejak dari musim A, B dan C liga berkenaan dijalankan," katanya.


Turut hadir menyaksikan perlawanan itu ialah Setiausaha SAFA Bandaraya, Juraidah Abdul Rahim; Setiausaha TABS, Amsir Abdullah dan ketua jurulatih TABS, Matasan Ahmad.


Sambil mengucapkan tahniah atas kejayaan kedua-dua pasukan itu, Lokman berharap pasukan terbabit meneruskan semangat juang dan momentum permainan mereka apabila berhadapan dengan pasukan lawan di Kuala Lumpur nanti.


"Kita sedar saingan di peringkat akhir amat mencabar namun pemain-pemain perlu membuktikan kehadiran mereka berbekalkan semangat jitu dan kesungguhan dalam pasukan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement