KOTA KINABALU: Sebanyak 16 pasukan menyertai Pertandingan Boling Piala Ikon Tenpin peringkat Kelab Wanita Ikon Malaysia Negeri Sabah 2023 yang diadakan di KK Galaxy Bowl, Centre Point dekat sini, hari ini.
Majlis penutupan perasmian disempurnakan isteri Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Datin Wahida Mardiana Nursalim.
Wahida berkata, bidang sukan bukan sahaja medan melahirkan ahli sukan semata-mata, tetapi sebenarnya ia juga berperanan menjadi landasan memupuk perpaduan rakyat.
Menerusi sukan katanya, semua masyarakat setempat dapat bersatu dan berinteraksi tanpa mengira pangkat, budaya, agama, bangsa dan pendidikan.
Tambahnya, aktiviti sukan sangat bermakna bukan hanya sebagai usaha melahirkan masyarakat yang sihat malah menjadi medan membentuk jati diri, disiplin, semangat bekerjasama dalam satu bumbung selain mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dalam kalangan para pemain.
“Kegiatan sukan perlu menjadi asas untuk mencungkil bakat baru pada peringkat lebih tinggi, termasuk daerah, negeri dan kebangsaan.
“Golongan generasi muda tidak seharusnya mengabaikan kegiatan sukan ketika di bangku sekolah kerana penyertaan dalam bidang berkenaan boleh membantu meningkatkan mutu sukan negara. Melalui bersukan juga diyakini dapat memberikan kesan terhadap kesihatan badan dan mental,“ katanya.
Turut hadir , Pengerusi Kelab Wanita Ikon Malaysia cawangan Sabah, Asmah Kadir; jawatankuasa Kelab Wanita Ikon Malaysia dan para pemain.
Mengulas lanjut, Wahida berkata amalan sihat seperti beriadah dan senaman rutin yang teratur mampu memberi faedah besar kepada kesihatan tubuh badan dan minda.
“Selain daripada mengisi masa lapang, menyihatkan tubuh badan, aktiviti sebegini juga boleh mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga dan jiran tetangga.
“Riadah dan senaman yang dilakukan beramai-ramai pastinya akan lebih menyeronokkan,” katanya.
Pasukan yang memenangi pertandingan boling itu akan mewakili negeri Sabah pada 2 Disember depan di Sunway Pyramid Selangor.