Anda di sini

 Versi akhir ART ditetapkan selepas selesai latihan: Lee

Advertisement
Lee menaiki ART semasa dalam lawatannya di POC ART Samarahan, di sini hari ini. - Gambar Kong Jun Liong
Lee menaiki ART semasa dalam lawatannya di POC ART Samarahan, di sini hari ini. - Gambar Kong Jun Liong

KOTA SAMARAHAN: Versi akhir Autonomous Rapid Transit (ART) Sarawak akan ditetapkan selepas projek pengangkutan itu selesai menjalani latihan kejuruteraan dan latihan bukti konsep (POC) di Kuching-Samarahan Expressway.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, versi akhir itu akan mengambil kira data dan laporan yang dibuat berdasarkan latihan yang dilakukan ke atas kenderaan itu sejak September lalu.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Sarawak Metro kini memantau keupayaan dan prestasi kejuruteraan kenderaan terbabit yang telah memasuki fasa kedua POC yang dijangka berakhir pada 15 Disember depan.

"Jadi, pihak kami akan mengambil tahu (semasa latihan) apa sahaja perkara yang tidak memenuhi kehendak (kenderaan ART) atau tidak sesuai dengan spesifikasi yang diinginkan untuk dimaklumkan kepada pengilang.

Lee merakamkan kenangan selepas menaiki ART ketika mengadakan lawatan ke atas tapak POC ART Samarahan, hari ini. - Gambar Kong Jun Liong.
Lee merakamkan kenangan selepas menaiki ART ketika mengadakan lawatan ke atas tapak POC ART Samarahan, hari ini. - Gambar Kong Jun Liong.

"Ini termasuk perubahan seperti tempat duduk atau reka bentuk ART dan sebagainya, kita akan maklumkan kepada pengilang.

"Sehubungan itu, ini (kenderaan ART) bukan versi akhir dan hanya prototaip. Versi akhir ART akan ada selepas semua ujian selesai," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan tapak POC ART Samarahan di Pusat Beli-Belah La Promenade di sini, hari ini.

Lee berkata selepas latihan, pihaknya akan kembali kepada pengilang utama untuk berbincang mengenai hasil pemantauan prestasi data yang telah diperolehi.

"Mereka (pengilang) juga akan mempunyai data dan kita juga mempunyai data, kita akan gabungkan data tersebut serta memberitahu mereka apa yang kita mahu tingkatkan dan bagaimana versi akhir (ART) itu mengikut kehendak kita," jelasnya.

Sementara itu, Lee mendedahkan pihaknya akan menjemput beberapa pihak untuk menaiki ART selepas ini.

"Kita akan jemput rakan kongsi, organisasi mahupun pelajar untuk merasai (pengalaman) menaiki ART semasa dalam pandu uji ini, sekali gus meminta pandangan mereka mengenai kenderaan ini," ujarnya.

Sehingga hari ini, prototaip ART tersebut telah bergerak sejauh 5,407 kilometer.

Ia telah dinaiki 1,999 orang ketika masih dalam uji cuba termasuk oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
 

  • oleh
  • Advertisement