Anda di sini

MYStartup NXT Sabah berjaya tarik lebih 250 peserta

Advertisement
 Arthur (tiga kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang di majlis itu sambil disaksikan oleh tetamu jemputan lain.
SAMPAIKAN: Arthur (tiga kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang di majlis itu sambil disaksikan oleh tetamu jemputan lain.


KOTA KINABALU: MYStartup NXT yang berlangsung di Kota Kinabalu berjaya menarik lebih 250 peserta ke program berkenaan, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup.


Siri persidangan mikro yang diadakan di Sabah kata Arthur merupakan persinggahan keempat tahun ini selepas Cyberjaya, Kuching dan Pulau Pinang bersama para startup.


Mengulas lanjut, Arthur memberitahu program itu telah dijalankan oleh Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), iaitu agensi focal point bagi startup Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertujuan memupuk sebuah ekosistem negara yang inklusif, berkesan dan mampan.


"Persinggahan di Kota Kinabalu yang dijalankan bersama Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (SCENIC) ini telah menarik lebih daripada 250 peserta dengan menawarkan sesi perkongsian mengenai pendanaan, pengesahan perniagaan, pemupukan bakat baharu dalam bidang teknologi serta rahsia kejayaan untuk menembusi pasaran global.

 
"Selain daripada sesi yang menampilkan pemain ekosistem tempatan seperti SCENIC, SynxSoft, CoreHalal dan AgriData, program ini juga menawarkan peluang rangkaian serta sesi perkongsian khas, 'What's Up Grant', mengenai geran yang ditawarkan oleh Cradle, iaitu CIP SPARK dan CIP SPRINT.

 
"MYStartup NXT juga memberi peluang kepada pakar industri dan pengasas-pengasas tempatan untuk berkongsi perjalanan perniagaan mereka serta cara-cara untuk mengubah idea menjadi realiti.

 
“MYStartup akan terus memperkasakan startup di Sabah dan membantu mereka mengatasi cabaran dalam meningkatkan modal, pembinaan bakat baharu serta kekangan infrastruktur.


"Saya yakin landskap startup di Sabah akan terus berkembang dan menjadi penggerak bagi pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial negara.


"Di MOSTI, kami akan terus berusaha untuk memastikan Malaysia mampu mencapai potensi penuh dalam menjadi hab inovasi, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.


Dalam pada itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata pihaknya berbesar hati melaksanakan MYStartup NXT di Sabah kerana berkeyakinan wilayah itu mempunyai potensi besar dalam ekosistem startup tempatan.


Beliau berharap ia dapat terus memupuk pertumbuhan dan inovasi menerusi penglibatan yang berterusan di setiap negeri sekaligus memastikan faedah di bawah inisiatif MYStartup dapat dinikmati oleh setiap komuniti startup tempatan.


Ketua Pegawai Eksekutif SynxSoft Sdn Bhd dan CoreHalal, Mazrie Mahat ketika ditemui percaya bimbingan, momentum dan peluang daripada pemain ekosistem penting bagi mengembangkan perniagaannya ke peringkat seterusnya.


"Ini adalah kali pertama saya menyertai program yang menggabungkan pengasas startup, ahli profesional korporat dan juga bakal usahawan. Dengan sesi perkongsian ini, kami telah didedahkan dengan informasi mengenai geran bagi startup tempatan, rahsia kejayaan daripada rakan ekosistem dan juga potensi kolaborasi bersama syarikat di luar negeri Sabah," katanya.


MYStartup NXT, dengan kerjasama rakan kongsi tempatan, rakan korporat dan penaja, telah berjaya menarik lebih daripada 800 peserta daripada pelbagai latar belakang.


Melalui sesi Venture Connect juga, MYStartup telah membantu menghubungkan lebih daripada 100 pengasas dengan pelabur tempatan dan serantau, termasuk Malaysia Venture Capital Management (MAVCAP), Vertex, Malaysian Business Angel Network (MBAN), Khazanah Nasional dan lain-lain.

 
Selain daripada MYStartup NXT, sebanyak 3,828 startup telah mendapat manfaat melalui program pembinaan kapasiti seperti program pemecut (accelerator), pra-pemecut (pre-accelerator) dan hackathon di bawah Cradle.


Tahun ini, empat graduan program pemecut terbaik telah mendapat akses eksklusif ke program akses pasaran MYStartup dan berjaya memperoleh pembiayaan sebanyak RM675,000.


Tambahan lagi, bilangan startup yang berdaftar di Sabah juga telah meningkat lebih daripada 40 peratus berbanding tahun lepas, dan itu menggambarkan pencapaian baik MYStartup di Sabah.

  • oleh
  • Advertisement