Anda di sini

Kaji semula persempadanan pilihan raya, antara usul dibahas dalam Majlis Perundingan Belia Negara

Advertisement
MAZLAN
MAZLAN


KOTA KINABALU: Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah (MBS) Mazlan Joehari Manan (gambar) menggesa kerajaan supaya mengkaji semula persempadanan pilihan raya berikutan peningkatan pengundi muda selepas pindaan Perlembagaan UNDI18 ketika membahaskan usul semasa Majlis Perundingan Belia Negara, Peringkat Kebangsaan di Pusat Antarabangsa Belia (IYC).


Mengulas lanjut, Mazlan berkata seramai 5.8 juta pemilih adalah pengundi baharu selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik (PPSA) pada 16 Januari 2022  manakala pemilih sedia ada berjumlah 15.3 juta menjadikan keseluruhan pengundi sekitar 21.1 juta.


Katanya, dengan peningkatan mendadak sebanyak 41.6 peratus berbanding jumlah pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dianggarkan seramai 14.9 juta pemilih, tiba masanya kerajaan mempertimbangkan persempadanan kawasan pilihan raya.

 
"Kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah penting kerana perrbezaan jumlah pengundi sesebuah kawasan dan kawasan lain tidaklah terlalu besar dan pada masa sama membolehkan pemimpin dan wakil rakyat  melaksanakan tugasnya dengan lebih efisen dan lancar.


"Persempadanan semula ini haruslah juga mengambil kira keluasan kawasan dan bukannya semata-mata jumlah pengundi, " katanya semasa membahaskan usul pada Majlis Perundingan Belia Negara, Peringkat Kebangsaan yang diadakan di IYC.


Mewakili suara pengundi muda di Borneo khususnya Sabah dan Sarawak, Mazlan berharap kerajaan dapat mempertimbangkan soal persempadanan dengan mengambil kira kepentingan Sabah dan Sarawak sesuai dengan terma yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


 "Komposisi Dewan Rakyat sekarang terdiri daripada 222 kerusi Ahli Parlimen melibatkan 166 kerusi di Semenanjung Malaysia, 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah.


"Dengan jumlah 56 kerusi untuk Sabah dan Sarawak hanya diperuntukkan lebih kurang 25 peratus kerusi dalam Dewan Rakyat.

 
"Kekurangan ini merupakan salah satu faktor penyumbang Sabah dan Sarawak banyak ketinggalan.  Oleh yang demikian, komposisi satu pertiga kerusi Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat yang bakal menjadikan jumlah 74 kerusi parlimen dari Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub pada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilaksanakan bagi memberi kesaksamaan pembangunan sosial, ekonomi dan politik seluruh Malaysia, " katanya.


Dalam pada itu, Mazlan berkata pengagihan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak penting supaya Semenanjung tidak akan dapat meminda Perlembagaan yang mungkin melenyapkan atau menghilangkan hak dua wilayah berkenaan seperti yang termaktub dalam MA63.

 
"Kerusi 33 peratus mesti diagihkan kepada Sabah dan Sarawak, (kerana) kalau (pinda) Perlembagaan, ada perkara yang mesti diputuskan dengan dua pertiga, (dan) jika (negeri-negeri) Semenanjung semua bergabung nak batalkan hak Sabah dan Sarawak, ia boleh dilaksanakan di Parlimen tanpa rundingan dengan Sabah dan Sarawak, sebab itu ia (komposisi kerusi bagi Sabah dan Sarawak) dituntut, " katanya.


Disamping itu jelas Mazlan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil kira faktor keluasan dan cabaran geografi untuk penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.
Katanya, beberapa kawasan yang mempunyai penambahan pengundi mempunyai sempadan Parlimen yang luas khususnya di Sabah dan Sarawak.


"Banyak rakyat di Parlimen Sabah dan Sarawak tidak menikmati kemajuan disebabkan faktor keluasan geografi, akses jaringan jalan perhubungan, telekomunikasi yang tidak memuaskan. 

 
"Berbanding dengan kawasan Parlimen di Semenanjung khususnya negeri Selangor, Johor, Pulau Pinang mempunyai keluasan Parlimen yang kecil dan kemudahan seperti jaringan internet, jalan raya, pengangkutan, air dan elektrik adalah lebih baik berbanding Sabah dan Sarawak.


"Misalnya Kinabatangan lebih besar daripada negeri Pahang tetapi negeri itu ada berapa ramai Ahli Parlimen. Cuba bayangkan seorang Ahli Parlimen mengurus kawasan pilihan raya yang saiznya lebih besar daripada Pahang.  


"Sebagai contoh lagi, Pejabat Perhubungan Parlimen di semenanjung Malaysia membuat projek ad hoc jalan kampung yang bernilai RM50 ribu tetapi di Sabah dan Sarawak nilai ini berganda menjadi RM70-80 ribu disebabkan jarak geografi yang berliku dan kos barangan yang mahal di Sabah.


"Kesimpulan, faktor keluasan sempadan parlimen dan cabaran Sabah dan Sarawak perlu dijadikan sebahagian rasional selain mengembalikan hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.


"Penambahan kerusi Parlimen di Sabah Sarawak sebenarkan satu pembolehdaya untuk merapatkan jurang antara wilayah di Malaysia, " katanya sambil berharap kajian persempadanan yang dilaksanakan akan mengambil kira semangat MA63 dan juga pembangunan infrastruktur dan modal insan yang lebih adil diantara wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

  • oleh
  • Advertisement