Anda di sini

Ewon alu-alukan penyertaan golongan profesional, belia dalam koperasi

Advertisement
 Ewon merakamkan gambar kenangan bersama semasa program MASKOP dan CBP.
KENANGAN: Ewon merakamkan gambar kenangan bersama semasa program MASKOP dan CBP.

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan penyertaan golongan profesional, belia dan penjawat awam dalam koperasi.

Beliau berkata penyertaan ini penting kerana golongan ini boleh menjadi penyumbang idea dan memberikan pandangan dalam memastikan gerakan koperasi terus berkembang dinamik dan kekal relevan dengan perkembangan sosioekonomi negara. 

“Saya yakin dengan adanya penyertaan daripada segenap lapisan masyarakat, ia mampu mencorak masa depan gerakan koperasi yang lebih cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) Bersama CO-Op Bank Pertama (CBP) di Auditorium Angkasa Kelana Jaya di sini.

Ewon berkata, bagi menggalak dan memudahkan masyarakat menubuhkan koperasi, syarat penubuhan koperasi juga dilonggarkan. 

“Pegawai kanan kementerian dan agensi disaran agar bersama-sama menyokong gerakan koperasi negara atau melibatkan diri dengan koperasi.

“Saya juga berharap agar lebih banyak koperasi ditubuhkan terutamanya dalam kalangan B40, Orang Kurang Upaya (OKU), miskin bandar, masyarakat luar bandar, pedalaman dan masyarakat orang asli serta orang asal bagi meningkatkan sosioekonomi rakyat,” katanya.

Menurutnya program MASKOP dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan CBP bertujuan memupuk semangat berkoperasi di samping meningkatkan pengetahuan orang ramai termasuk penjawat awam dan sektor swasta berkaitan koperasi.

“Sebelum ini, KUSKOP sudah melaksanakan beberapa Program MASKOP dengan kerjasama SKM serta IKMa.

“Kita harapkan mesej untuk membudayakan koperasi dalam kalangan setiap lapisan masyarakat dapat diperkukuh melalui program ini selain menjadikan koperasi sebagai gaya hidup dalam menangani masalah kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya.

Beliau berkata meskipun gerakan koperasi sudah wujud lebih 100 tahun di negara ini, masih ada masyarakat yang tidak cakna tentang peranan koperasi dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat dan membangunkan ekonomi negara.

“KUSKOP dan agensi berkaitan terutama SKM, IKMa dan ANGKASA bertanggungjawab untuk terus mempergiat aktiviti turun padang bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai fungsi dan konsep koperasi melalui Program Memasyarakatkan Koperasi.

“Pada masa sama, program ini juga dijadikan sebagai satu platform untuk menghebahkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan gerakan koperasi kepada orang awam,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement