
MIRI: Padah berjudi di tempat awam, seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM800 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Sandy Yvette Freddy setelah Memori Mahbar dari Sambas, Indonesia mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda sehingga RM5, 000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, sekitar jam 8.05 malam, 17 November lalu, sepasukan polis yang melakukan Ops Dadu Khas telah pergi ke sebuah kedai makan di kawasan Centre Point 2 di sini untuk mengesan aktiviti perjudian jenis judi dalam talian.
Dalam pemeriksaan itu, polis telah menahan tertuduh yang berada di tepi kedai berkenaan sambil bermain telefon bimbit untuk tujuan pemeriksaan
Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas telefon pintar milik tertuduh mendapati ia ada memaparkan aplikasi judi jenis judi dalam talian.
Berikutan itu, tertuduh ditangkap dan telefon bimbitnya dirampas untuk dijadikan barang kes.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.