Anda di sini

Terima rasuah RM300,000 untuk lesen terbang, empat anggota penguatkuasa direman tujuh hari

Advertisement
 Anggota penguatkuasa dibawa keluar oleh Pegawai SPRM selepas permohonan reman di Mahkamah Majistret di sini.
REMAN: Anggota penguatkuasa dibawa keluar oleh Pegawai SPRM selepas permohonan reman di Mahkamah Majistret di sini.

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan reman empat anggota penguatkuasa selepas dipercayai menerima wang rasuah sebanyak kira-kira RM300,000 daripada ejen dan calon yang mengambil lesen memandu.

Permohonan reman selama tujuh hari sehingga 28 November depan itu dikeluarkan Majistret Wan Farrah Fariza Wan Ghazali selepas pihak SPRM membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Terdahulu, kesemua suspek lelaki berumur dalam lingkungan 30-an itu dipercayai ditahan kira-kira jam 4 petang kelmarin ketika diminta hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Sabah.

Menurut sumber, kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah terbabit pada 2021 dan 2022 melalui orang tengah sebagai balasan untuk mengeluarkan lesen memandu kepada calon tanpa perlu mengikuti ujian memandu.

“Modus Operandi (MO) yang dilakukan oleh anggota penguatkuasa ini adalah dengan meminta dan menerima rasuah daripada orang tengah itu antara RM400 hingga RM1,200 daripada setiap calon.

“Suapan itu bagi membolehkan calon mendapatkan lesen memandu pelbagai kelas tanpa menjalani ujian memandu,” katanya.

Tambahnya, kegiatan haram sindiket pengeluaran lesen terbang ini dipercayai menyebabkan kerugian kepada hasil kerajaan membabitkan nilai sehingga RM1.5 juta.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

  • oleh
  • Advertisement