
TAWAU: Suami pesakit ketumbuhan atau tumor otak bersyukur dapat membawa balik isterinya ke Semenanjung dengan bantuan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pagi tadi.
Jamaludin Ahmad yang berasal dari Rompin, Pahang menitiskan air mata setelah diberitahu permohonan untuk membawa isterinya balik ke Semenanjung menggunakan pesawat TUDM sudah diluluskan.
Beliau berkata, isterinya Suria @ Rafidah Lika, 47, disahkan menghidap penyakit itu pada 13 Oktober lalu dan telah menerima rawatan di Hospital Tawau.
“Sebenarnya, kami ke kampung isteri di Pulau Bum Bum Semporna untuk berehat dan berubat kerana sering mengalami sakit kepala.
“Namun, keadaannya semakin teruk dan menyebabkan dia terpaksa dikejarkan ke Hospital Tawau, sebelum disahkan mengalami tumor tahap empat di kepala,” katanya ketika ditemui media, di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan bertambah parah apabila dia tidak dapat membawa isterinya balik ke Semenanjung menggunakan penerbangan komersial untuk meneruskan rawatan di sana.
“Hampir dua bulan saya di Tawau tanpa saudara mara kerana terpaksa menjaga isteri di Hospital Tawau mendapatkan rawatan.
“Pihak Hospital Tawau memaklumkan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Tan Sri Liew Yun Fah sudah mengurus penerbangan isteri saya ke Semenanjung,” katanya.
Jamaludin menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak Hospital Tawau khususnya Pengarah, Timbalan Pengarah serta doktor yang telah melayan dan memberi bantuan selama isterinya mendapat rawatan di sini.
“Saya juga sangat berterima kasih kepada Tan Sri Liew dan TUDM kerana membantu mengurus isteri saya mendapatkan rawatan di Semenanjung,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Liew turut menzahirkan terima kasih kepada pihak TUDM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Hospital Tawau kerana memudahkan urusan penghantaran pesakit ini.
Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Desa Sabah berkata, pada mulanya dia dihubungi oleh pihak hospital bahawa pesakit ini tidak boleh membuat penerbangan menggunakan pesawat komesial akibat masalah kesihatan.
“Perkara itu telah dipanjangkan kepada pihak berwajib, sebelum TUDM bersetuju melakukan penerbangan ihsan berkenaan.
“Perjalanan ini berjalan lancar kerana pihak KKM turut membenarkan doktor pakar mengiringi pesakit hingga ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Liew berkata, sebenarnya program mendapatkan penerbangan ihsan TUDM ini sudah lama dilaksanakan dan ramai pesakit telah dibantu sejak beliau menjadi wakil rakyat lagi.
“Namun, apa yang penting program tanggungjawab sosial (CSR) TUDM melalui penerbangan ihsan ini banyak membantu rakyat khususnya di daerah Tawau,” katanya.