Anda di sini

Pelan Antirasuah Organisasi JPDS 2024-2027 dilancarkan

Advertisement
 Robert (lima kiri) mewakili Shahelmey merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian yang terlibat semasa pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2024-2027 di Labuan.
ALBUM: Robert (lima kiri) mewakili Shahelmey merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian yang terlibat semasa pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2024-2027 di Labuan.

LABUAN: Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya yakin Pelan Antirasuah Organisasi Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2024-2027 yang dilancarkan berupaya membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam jabatan dan agensi kerajaan.


Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya percaya pelan itu amat signifikan dalam mencerminkan harapan warga JPDS bagi membentuk sebuah organisasi yang bebas rasuah dan sentiasa membudayakan ketelusan, akauntabiliti serta integriti.


"Kejayaan dalam membanteras gejala rasuah dan salah laku ini akan tercapai dengan adanya kesungguhan serta komitmen daripada semua warga kerja JPDS dalam memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah. 


"Dengan usaha kerjasama jitu diantara JPDS, Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sabah dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) saya percaya, gejala rasuah dan salah guna kuasa dapat dibanteras sebaik mungkin demi kesejahteraan negara dan masyarakat, " katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap bagi melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi Jabatan JPDS 2024-2027 di Palm Beach Resort & Spa, Wilayah Persekutuan Labuan pada Isnin.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik.


Mengulas lanjut Shahelmey berkata, terdapat 25 pelan tindakan dan inisiatif dalam Pelan Antirasuah Organisasi JPDS 2024-2027 yang merangkumi 16 inisiatif jangka pendek, dua inisiatif jangka sederhana dan tujuh inisiatif jangka panjang.


"Dengan memfokuskan tujuh bidang keutamaan yang dikenal pasti mempunyai ruang dan peluang berlakunya gejala rasuah, penyelewengan dan salah laku, semoga pelan ini kelak dapat mengatasi masalah tersebut daripada berlaku.


"Gejala rasuah dan salah laku adalah masalah yang sangat serius dan tidak boleh dipandang remeh. Besarlah harapan saya untuk melihat Pelan Antirasuah Organisasi ini berjaya dilaksanakan sekaligus mencapai aspirasi Kerajaan.


"Saya berharap agar warga JPDS dapat memahami, menghayati serta membudayakan integriti agar dapat menghindarkan diri dari terjebak dengan gejala rasuah dan salah laku. 


"Seperti yang kita semua maklum, rasuah tidak terhad kepada aktiviti menerima wang ringgit sahaja. Ianya boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti hadiah, habuan dan sebagainya.


"Oleh itu, sama ada kita sedar atau tidak, sebenarnya peluang untuk berlakunya rasuah di sekeliling kita sangat mudah, " katanya.


Justeru beliau berharap pelaksanaannya itu dapat meningkatkan imej dan kualiti perkhidmatan JPDS tetapi juga mampu memperkasa ke arah perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat serta mencapai visi pelan untuk 'Menjadi Jabatan Bebas Rasuah dan Membudayakan Amalan Integriti'.

  • oleh
  • Advertisement