
SRI AMAN: Pasukan Miasim 083 dari Sri Aman muncul juara Pertandingan Futsal Englant FC anjuran bersama Kelab Bola Sepak Englant Sri Aman Engkilili, Lubok Antu dan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman di Gelanggang Futsal Skim Skrang dekat sini.
Dengan kemenangan tersebut pasukan Miasim 083 berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM700, piala dan pingat.
Sementara itu, naib juara pula disandang pasukan Pelavosta X yang membawa pulang hadiah wang tunai RM500.
Tempat ketiga bersama pula diraih pasukan Acuedos Mania dan pasukan RC7 yang membawa pulang hadiah wang tunai masing-masing RM200.
Pertandingan Futsal Englant FC yang dianjurkan kali ini adalah sempena Program Aktif@Luar Bandar 2023 Peringkat Negeri Sarawak.
Terdahulu, penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan telah disempurnakan oleh Pembantu Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman Sazali Dillah.
Dalam pada itu, sebanyak 20 pasukan telah mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.