Anda di sini

MotoGP: Bagnia tamatkan perlumbaan di tempat kedua

Advertisement
Bagnaia (tengah) meraikan kejayaan bersama pasukan selepas menamatkan perlumbaan Moto GP Qatar di tempat kedua di Litar Antarabangsa Lusail, di bandar Lusail, kelmarin. — Gambar AFP
Bagnaia (tengah) meraikan kejayaan bersama pasukan selepas menamatkan perlumbaan Moto GP Qatar di tempat kedua di Litar Antarabangsa Lusail, di bandar Lusail, kelmarin. — Gambar AFP

LUSAIL: Francesco Bagnaia terselamat ancaman lewat untuk menamatkan perlumbaan MotoGP Qatar di tempat kedua tetapi pesaing utama kejuaraan dunia, Jorge Martin, hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 selepas mengadu masalah tayar pada Ahad.

Fabio Di Giannantonio, yang tidak mempunyai pasukan untuk bertanding musim hadapan, meraih kemenangan pertamanya dan berkata “balas dendam” ke atas “semua orang yang meragui saya.”

Luca Marini menduduki tempat ketiga untuk pasukan VR46 Ducati.

Bagnaia, juara bertahan, kini mendahului Martin dengan kelebihan 21 mata dan dengan hanya satu perlumbaan sahaja lagi musim ini di Valencia, di mana 37 mata menjadi rebutan dalam perlumbaan pecut (pada Sabtu) dan perlumbaan sebenar (pada Ahad).

Martin berjaya merapatkan jurang ketinggalan di belakang Bagnaia dengan tujuh mata apabila memenangi perlumbaan pecut pada Sabtu. Tetapi dalam perlumbaan utama pada Ahad, jaguh dari Sepanyol itu tercicir ke kedudukan kesembilan selepas permulaan hambar dan kemudian bergelut dengan jentera Ducati Pramac sebelum akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ke-10.

“Saya mengalami masalah teruk tayar belakang,” kata Martin. “Anda boleh melihat dari permulaan perlumbaan di mana tayar belakang kurang cengkaman.”

“Saya fikir ia mengecewakan di mana kejuaraan dunia ditentukan oleh tayar yang buruk,” katanya. “Kita berada dalam MotoGP dan ini tidak boleh diterima. Saya berpotensi untuk memenangi perlumbaan. Saya merasakan seperti mereka menewaskan saya dari luar dan bukan dalam litar.”

Bagnaia bagaimanapun tidak mempunyai masalah yang sama, apabila mendahului dari permulaan perlumbaan untuk jentera Ducati, dengan rakan senegara dari Itali, Di Giannantonio berjaya mengekalkan saingan.

“Saya bersendirian di hadapan. Saya cuba memecut tetapi Digia (Di Giannantonio) terus cukup hebat hari ini,” kata Bagnaia.
Di Giannantonio menunggu peluang sebelum memintas dan menyedari lawannya bersaing untuk kejuaraan dunia, dia tidak mahu mengambil risiko.

“Saya bersimpati dengannya kerana mencuri lima mata daripadanya,” kata Di Giannantonio. “Saya cuba untuk berlumba sebaik yang saya mampu tetapi saya juga cuba memenangi perlumbaan pertama saya dan saya fikir saya berjaya melakukan pintasan pada masa yang tepat.”

Bagnaia bersedia  untuk mengambil risiko namun Di Giannantonio lebih bersemangat.

“Saya mahu menang hari  ini. Ia satu kemungkinan bagi saya.”
Dia bagaimanapun hampir menerima padah dan terkeluar sedikit dari laluan sebelum kembali bersaing.

“Saya bernasib baik kerana mencipta jurang lebih besar berbanding pelumba lain.”

Di Valencia hujung minggu ini, Bagnaia boleh melengkapkan kejuaraan dunia yang keduanya dalam perlumbaan pecut pada Sabtu.

Musim lepas, apabila tiada perlumbaan pecut, Bagnaia tiba di Valencia dengan kelebihan 23 mata dan menamatkan perlumbaan di tangga kesembilan untuk memenangi kejuaraan dunia dengan kelebihan 17 mata berbanding Fabio Quartararo.

“Kami tiba dengan situasi yang lebih baik berbanding Jorge,” kata Bagnaia.

Martin menduduki tempat ketiga di Valencia musim lepas.
Tempat Di Giannantonio akan diganti oleh juara dunia enam kali, Marc Marquez di pasukan Gresini dan dia tidak mempunyai pasukan untuk musim hadapan dengan hanya beberapa slot pemandu masih belum diisi.

“Ini adalah benar-benar satu penebusan hari ini,” kata Di Giannantonio. “Satu balas dendam untuk diri saya dan juga semua orang yang meragui saya. Kami melakukannya. Saya adalah pemenang MotoGP.”

Dalam perlumbaan Moto2, Fermin Aldeguer, pelumba muda berusia 18 tahun dari Sepanyol yang dijangka akan naik ke MotoGP musim hadapan, muncul pemenang, dengan rakan senegara, Pedro Acosta, yang sudah mengesahkan kejuaraan dunia, menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.

Jaume Masia memenangi perlumbaan Moto3 untuk mengesahkan kejuaraan dunia namun kemenangannya diselubungi kontroversi dengan cara dia dan rakan sepasukannya dari Leopard Honda, Adrian Fernandez berulang kali melanggar pesaing utama Masia, Ayumu Sasaki, yang menamatkan perlumbaan di tempat keenam. — AFP

Advertisement