Anda di sini

Lukaku bantu Belgium raih kemenangan ke atas Azerbaijan

Advertisement

Cipta empat gol dengan menambah koleksi peribadi antarabangsa kepada 83, sementara Serbia sahkan tempat ke Euro 2024

LUKAKU
LUKAKU

PARIS: Romelu Lukaku menjaringkan empat gol ketika Belgium menamatkan kempen kelayakan Euro 2024 dengan membelasah Azerbaijan 5-0 sementara Serbia mengesahkan tempat ke Euro 2024 pada Ahad.

Lukaku menambah koleksi gol peribadi antarabangsa untuk Belgium kepada 83, dengan kesemua golnya dijaringkan dalam separuh masa pertama perlawanan di Brussels.

Beliau membuka jaringan pada minit ke-17 apabila menyempurnakan hantaran Jeremy Doku, sebelum Eddy Israfilov dilayangkan kad kuning kedua perlawanan tujuh minit kemudian, menyebabkan Azerbaijan beraksi dengan 10 pemain.

Lukaku menambah gol kedua peribadi tidak lama selepas itu dan melengkapkan hatrik dari satu umpanan Wout Faes.

Dia melengkapkan koleksi gol untuk empat gol dalam masa 20 minit sebelum diganti oleh Lois Openda pada masa rehat.

Sebahagian daripada aksi perlawanan kelayakan Euro Kumpulan F di antara Belgium dan Azerbaijan di Stadium The King Baudouin di Brussels, kelmarin. — Gambar AFP
Sebahagian daripada aksi perlawanan kelayakan Euro Kumpulan F di antara Belgium dan Azerbaijan di Stadium The King Baudouin di Brussels, kelmarin. — Gambar AFP

Belgium mengurangkan asakan dalam separuh masa kedua tetapi Leandro Trossard menjaringkan gol kelima pada minit akhir dari satu lagi umpanan Doku.

Belgium menamatkan kempen kelayakan di tangga teratas Kumpulan F, satu mata di hadapan Austria, dengan kedua-dua pasukan layak ke Jerman, tuan rumah Euro 2024 sebelum dua perlawanan terakhir.

Sweden menamatkan kempen dengan hambar, di mana mereka gagal layak ke Euro buat kali pertama sejak 1996 walaupun menang 2-0 ke atas Estonia pada perlawanan lain dari kumpulan yang sama.

Serbia layak buat kali pertama ke Euro sebagai sebuah negara merdeka, selepas empat kali gagal, apabila seri 2-2 dengan Bulgaria.

Serbia menamatkan kempen di tangga kedua Kumpulan G, di belakang Hungary yang menamatkan harapan Montenegro untuk mara dengan  kemenangan 3-1 di Budapest.

“Pemain menunjukkan satu mentaliti enggan mengalah, percaya dengan diri mereka sendiri,” kata jurulatih Serbia, Dragan Stojkovic.

“Ini adalah hari yang hebat untuk bola sepak Serbia. Serbia akhirnya beraksi di Euro. Saya mahu mengucapkan tahniah kepada pemain saya, yang bersaing dan percaya sehingga ke akhirnya. Kami berasa gembira dan berpuas hati.”

Pemain pertahanan tengah, Milos Veljkovic meletakkan Serbia di hadapan pada minit ke-17 tetapi pemain gantian, Georgi Rusev mengikat kedudukan buat Bulgaria pada minit ke-59.

Sepuluh minit kemudian, Kiril Despodov meletakkan Bulgaria di hadapan tetapi Srdjan Babic mengikat kedudukan lapan minit sebelum tamat permainan untuk memastikan Serbia menjadi pasukan ke-17 yang layak ke Euro 2024.

Montenegro mengharapkan Serbia tewas untuk mengintai satu peluang ke Jerman namun mereka juga perlu menang menentang Hungary, dengan kedua-dua harapan itu tidak dicapai. — AFP

Advertisement