Anda di sini

Lelaki dipenjara sebulan, denda RM2,000 kerana cederakan isteri

Advertisement
 

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini atas kesalahan dengan sengaja mencederakan isterinya.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Sandy Yvette Freddy setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambilkira kepentingan awam.

Padan Lah, 59, dari Desa Murni, Bandar Baru Permyjaya di sini didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Manakala Seksyen 326A boleh membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksima atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan kepada isterinya yang berusia 53 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.30 petang, 17 November lalu di sebuah lot di Lorong 3 Taman Ceria, Bandar Baru Permyjaya di sini.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 17 November lalu.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement