Anda di sini

K'jaan perkenal pelbagai inisiatif pendidikan

Advertisement

Untuk melahirkan modal insan terbaik, bentuk pemimpin pelapis masa depan

 Ghulam bergambar bersama pegawai Yayasan Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Papar, guru-guru serta murid sempena program berkenaan.
ALBUM: Ghulam bergambar bersama pegawai Yayasan Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Papar, guru-guru serta murid sempena program berkenaan.

PAPAR: Kerajaan negeri memperkenal pelbagai inisiatif pendidikan sebagai pendekatan membangunkan modal insan terbaik untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.

Pengarah Yayasan Sabah, Dato Sri Ghulam Haidar Khan Bahadar, berkata inisiatif pendidikan dan pembangunan modal insan itu terkandung jelas dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, usaha itu dilaksana kerajaan supaya anak-anak tempatan berpeluang mendapatkan pendidikan terbaik, sekali gus menjadi generasi pelapis kepemimpinan.

Antara inisiatif itu termasuk penubuhan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang menyediakan kemudahan biaya pendidikan kepada anak-anak tempatan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

"Kumpulan Yayasan Sabah juga mempunyai pelbagai skim dan program menjurus ke arah pembangunan pendidikan," katanya.

 Ghulam menyampaikan bantuan keperluan kepada seorang murid SK Kawang, sambil disaksikan tetamu kehormat lain.
SBK: Ghulam menyampaikan bantuan keperluan kepada seorang murid SK Kawang, sambil disaksikan tetamu kehormat lain.

Antaranya Biasiswa Pendidikan Menengah Yayasan Sabah, Biasiwa Sekolah Menengah Semenanjung Malaysia, Biasiswa Pelajar Luar Bandar dan Program Pertukaran Pelajar Sabah/Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyampaian Skim Bantuan Khas (SBK) anjuran Kumpulan Yayasan Sabah, di Sekolah Kebangsaan (SK) Kawang pada pagi ini.

Ghulam berkata sejak penubuhan Kumpulan Yayasan Sabah lebih 50 tahun lalu dan setakat tahun 2022, seramai 79,221  pelajar telah mendapat manfaat daripada bantuan biasiswa sekolah menengah membabitkan perbelanjaan kira-kira RM122 juta.

Katanya, program dan kemudahan yang disediakan itu adalah bukti komitmen tinggi Kumpulan Yayasan Sabah untuk membangunkan aspek pendidikan.

"Ini kerana, kita percaya pendidikan merupakan pemangkin kemajuan `orang kita' dan `negeri kita' untuk bersaing di pentas dunia," katanya.

 Sebahagian murid yang menerima bantuan SBK bergambar dengan tetamu yang hadir pada majlis itu.
GEMBIRA: Sebahagian murid yang menerima bantuan SBK bergambar dengan tetamu yang hadir pada majlis itu.

Mengenai program SBK, Ghulam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang berkata ia diperkenalkan oleh Kumpulan Yayasan Sabah sebagai usaha menokok tambah program kerajaan negeri.

Katanya, ia bagi membantu mengurangkan beban keluarga pelajar daripada golongan B40 serta ibu bapa serta tersenarai dalam e-Kasih.

Menerusi program berkenaan, seramai 900 murid di kawasan Zon Pedalaman Selatan terpilih untuk menerima bantuan bagi tahun 2023.

Daripada jumlah itu, seramai 100 murid adalah  dari SK Kawang yang merupakan sekolah penerima terakhir penerima program bantuan ini.

 Ghulam beramah mesra dengan sebahagian murid SK Kawang pada program berkenaan.
MESRA: Ghulam beramah mesra dengan sebahagian murid SK Kawang pada program berkenaan.

Beliau berkata sumbangan yang diberikan menerusi SBK ini adalah barangan keperluan pelajar, iaitu beg sekolah, buku latihan dan alat tulis. 

"Pemberian bantuan menerusi program SBK ini adalah manifestasi keungguhan Kerajaan Negeri menerusi Kumpulan Yayasan Sabah, membangunkan aspek penddikan anak-anak.

"Kita memahami betapa soal kemiskinan sering menghambat usaha seseorang mencari ilmu dan pendidikan," katanya.

 Ghulam ketika berucap merasmikan majlis penyampaian bantuan SBK itu.
RASMI: Ghulam ketika berucap merasmikan majlis penyampaian bantuan SBK itu.

Sehubungan itu, beliau berharap sumbangan berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu dan memanfaatkan para pelajar yang menerimanya.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Papar, Bakri Sudin; Ketua Penyelaras Pentadbiran Zon Yayasan Sabah, Zulkhairi Haji Ismail; Guru Besar SK. Kawang, Sapli Haji Abdul Malik; Yang Dipertua PIBG SK Kawang, Hassan Manap; dan Ketua Pentadbir Zon Pedalaman Selatan, Siti Sheriffah Jabar Khan.

Advertisement