

SANDAKAN: Pasukan Bola Keranjang Kinabatangan hanya di tempat kedua bagi Kejohanan Bola Keranjang Umur 17 dan Ke Bawah Peringkat Negeri Sabah Kali Ke-52 di Stadium Bola Keranjang Tawau Ahad lalu.
Pasukan Kinabatangan hasil gabungan pemain muda dari Sandakan dan Kinabatangan mengutip sebanyak 52 mata dan tewas kepada Pasukan Bola Keranjang Kota Kinabalu yang berjaya mengutip 85 mata dalam pertandingan akhir terbabit.
Tempat ketiga kejohanan pula dimenangi Pasukan Bola Keranjang Tawau dan pasukan Labuan di tempat keempat.
Pengurus Pasukan Bola Keranjang Kinabatangan, K.T. Tan berkata kejohanan dianjurkan oleh Persatuan Bola Keranjang Sabah dengan disertai oleh Tawau, Labuan, Sandakan,Keningau, Kudat, Ranau, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Papar, Penampang dan Kinabatangan.
Katanya pemain pasukan itu terdiri daripada pemain berbakat dari Sandakan dan Kinabatangan.
“Ini adalah pasukan gabungan baharu yang membabitkan pemain daripada kedua-dua daerah.
“Walaupun hanya mampu sebagai naib juara, ini adalah satu pencapaian yang amat memberangsangkan”, katanya.
K.T Tan yang berasal dari Sandakan juga menerima penghargaan daripada Presiden Persatuan Persatuan Bola Keranjang Sabah, Phan Chee Yong dengan jasa dan sumbangannya menaja pasukan Kinabatangan ke kejohanan peringkat negeri.