Anda di sini

Hentikan bencana kemanusiaan di Gaza: China

Advertisement

Pertemuan dengan delegasi Arab dan negara-negara majoriti Muslim bincang isu mendesak

Seorang doktor menjaga bayi-bayi pramatang yang dipindahkan dari Hospital Al Shifa ke Hospital Emiriah di Rafah, selatan Semenanjung Gaza kelmarin. - Gambar AFP
Seorang doktor menjaga bayi-bayi pramatang yang dipindahkan dari Hospital Al Shifa ke Hospital Emiriah di Rafah, selatan Semenanjung Gaza kelmarin. - Gambar AFP


BEIJING: Komuniti antarabangsa mesti mengambil tindakan segera untuk menghentikan bencana kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza, Menteri Luar China Wang Yi berkata demikian ketika menerima lawatan diplomat Arab dan negara-negara majoriti Muslim semalam.

Delegasi menteri-menteri luar Pihak Berkuasa Palestin (PA), Indonesia, Mesir, Arab Saudi dan Jordan berada di Beijing minggu ini untuk rundingan yang bertujuan meredakan krisis semasa di Gaza.

"Mari kita bekerja bersama untuk segera meredakan situasi di Gaza dan mengembalikan keamanan di Timur Tengah secepat mungkin," Wang berkata demikian dalam ucapan alu-aluan di Beijing.

"Bencana kemanusiaan sedang berlaku di Gaza.

"Situasi di Gaza menjejaskan semua negara di seluruh dunia, menimbulkan persoalan naluri kemanusiaan tentang perkara yang betul dan salah serta had kemanusiaan," kata Wang kepada para delegasi yang termasuk Setiausaha Agung Organisasi Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC).

"Komuniti antarabangsa mesti bertindak segera dan mengambil langkah efektif bagi mencegah tragedi ini daripada merebak," katanya lanjut.

Wang (barisan depan empat kanan) merakam gambar bersama (barisan depan dari kiri) Menteri Luar Palestin Riyad Al-Maliki, Menteri Luar Mesir Sameh Shoukry, Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan Al-Saud, Menteri Luar dan Timbalan Perdana Menteri Jordan Ayman Safadi, Menteri Luar Indonesia Retno Masudi, Setiausaha Agung OIC Hissein Brahim Taha serta delegasi lain sebelum mesyuarat bersama delegasi pelawat di Rumah Tetamu Negara Diaoyutai di Beijing, semalam. - Gambar AFP
Wang (barisan depan empat kanan) merakam gambar bersama (barisan depan dari kiri) Menteri Luar Palestin Riyad Al-Maliki, Menteri Luar Mesir Sameh Shoukry, Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan Al-Saud, Menteri Luar dan Timbalan Perdana Menteri Jordan Ayman Safadi, Menteri Luar Indonesia Retno Masudi, Setiausaha Agung OIC Hissein Brahim Taha serta delegasi lain sebelum mesyuarat bersama delegasi pelawat di Rumah Tetamu Negara Diaoyutai di Beijing, semalam. - Gambar AFP

Susulan konflik yang bermula bulan lepas, para pegawai China termasuk Wang telah menyeru gencatan senjata serta-merta dan situasi diredakan.

China secara sejarahnya memang bersimpati terhadap Palestin serta menyokong penyelesaian dua negara Israel dan Palestin.

Wang memberitahu semalam bahawa Beijing adalah rakan baik dan saudara negara-negara Arab dan Muslim.

"Kami sentiasa dengan tegas mempertahankan hak dan kepentingan sahih negara-negara Arab dan Muslim, dan sentiasa menyokong tegas usaha rakyat Palestin untuk mengembalikan kepentingan dan hak negara mereka yang sah.

"China menyokong tegas keadilan dan kesaksamaan undang-undang dalam konflik ini," tambah Wang.

"Beijing bukan sahaja menghubungi semua pihak melalui saluran dua hala untuk mempromosikan keamanan dan rundingan, tetapi juga menggunakan platform pelbagai hala untuk membina konsesi bagi mengembalikan keamanan.

"Kami mahu bekerja bersama saudara-saudara kami di negara Arab dan Islam untuk membuat usaha tanpa jemu bagi menghentikan perang di Gaza secepat mungkin," tambahnya.

Dalam pada itu di SEMENANJUNG GAZA, tentera rejim Israel meluaskan operasi mereka semalam ketika pasukan perunding Qatar mendakwa mereka semakin hampir untuk mendapatkan perjanjian pembebasan sebahagian daripada 240 tebusan yang ditahan Hamas.

Israel kelmarin menyatakan ia meluaskan kegiatan operasinya di kawasan-kawasan lain di Semenanjung Gaza, selain memberi amaran kepada penduduk kem pelarian terbesar Jabaliya dan kem pesisiran pantai berhampiran untuk berpindah.

Selepas pengeboman teruk, wartawan AFP di Gaza melihat kepulan asap tebal dari Jalabaliya kelmarin.

Sebuah sekolah milik PBB yang menempatkan penduduk yang melarikan diri turut dibom kelmarin, mengakibatkan lebih 80 maut dan semalam agensi berita Palestin Wafa menyatakan Hospital Indonesia berdekatan Jabaliya turut dibedil.

Sementara itu di Hospital Al-Shifa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan ia sebagai zon maut.

Sepanjang hujung minggu ratusan pesakit, pekerja dan penduduk melarikan diri dengan berjalan kaki dari hospital terbabit ketika letupan kuat terus kedengaran.

WHO berkata kelmarin ia telah memindahkan 31 bayi pramatang dan ketua pembedahan Dr Marwan Abu Sada menyatakan tentera Israel masih berkeliaran di dalam hospital tersebut yang kini dikepung dengan kereta kebal.

Doktor lain berkata, tentera menyerbu setiap bangunan serta meletupkan bom di tingkat bawah dan bilik bawah tanah atas alasan menghapuskan terowong Hamas.

Setakat ini empat tebusan telah dibebaskan oleh Hamas yang turut menafikan mereka mempunyai terowong di Hospital Al Shifa. - AFP

Advertisement