
SANDAKAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kuamut sudah merekodkan lebih 4,000 ahli termasuk ahli baharu yang sedang dalam proses pendaftaran.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, setakat ini terdapat 55 cawangan parti itu telah dibentuk menerusi 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Katanya, lima cawangan lagi yang mempunyai kira-kira 1,000 ahli akan didaftarkan ke ibu pejabat parti sebelum akhir tahun ini.
“Lima cawangan berkenaan iaitu Jesselton Kota Kinabalu, Ruminding, Lumandai, Kimanimus dan Bobuluh,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Gagasan Rakyat Kuamut di sini, semalam.
Sementara itu, katanya, cawangan Alitang dalam PDM Penangah merekodkan pendaftaran ahli paling ramai iaitu 173 orang, diikuti cawangan Entilibon Asal 129 dan Penangah 109 ahli.
Masiung berkata, pihaknya sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas keahlian dan tidak menerima ahli yang telah berdaftar dengan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lain.
“Dalam Gagasan Rakyat mempunyai sistem yang cekap bagi mengenal pasti keahlian individu supaya tidak berlaku sebarang pertindihan ahli daripada parti lain dalam GRS.
“Sebaliknya, target kami adalah meraih sebanyak mungkin ahli-ahli daripada parti pembangkang terutama dari UMNO, Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Parti Kesajetharaan Demokratik Masyarakat (KDM),” katanya.
Masiung yang juga Naib Presiden Gagasan Rakyat berkata, pihaknya tidak menolak ramai ahli-ahli parti pembangkang telah beralih arah kepada Gagasan Rakyat.
Wakil Rakyat Kuamut itu, menjelaskan kebanyakan individu terutama ahli-ahli UMNO, WARISAN dan KDM datang sendiri ke pejabat parti untuk menyertai Gagasan Rakyat.
“Kita tidak boleh menolak penyertaan itu kerana ia pilihan mereka sendiri mau beralih arah kepada Gagasan Rakyat.
“Sebahagian ahli pembangkang itu telah pun membentuk cawangan Gagasan Rakyat sebagai solidariti bahawa mereka menolak parti dalam blok pembangkang,” katanya.
Masiung berkata, di kawasan Kuamut syarat setiap permohonan menjadi ahli parti, mereka hendaklah mengemukakan salinan kad pengenalan yang disahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Ia bagi membolehkan kita dapat mengesan status keahlian mereka sebelum menandatangani sendiri borang keahlian dalam Gagasan Rakyat,” katanya.