
PARIS: Portugal menamatkan kempen kelayakan Euro 2024 dengan rekod bersih apabila menewaskan Iceland 2-0 pada Ahad.
Bruno Fernandes dan Ricardo Horta menjaringkan gol untuk skuad kendalian Roberto Martinez, dengan Cristiano Ronaldo gagal menjaringkan gol tetapi pasukannya menamatkan kempen dalam Kumpulan J dengan 10 kemenangan dari 10 perlawanan.
Portugal, juara Euro 2016, akan menjadi antara pilihan juara dalam apa yang mungkin kejohanan besar terakhir buat Ronaldo, yang ketika ini berusia 38 tahun.
Slovakia menamatkan kempen dari kumpulan yang sama di tangga kedua, lapan mata di belakang Portugal selepas menewaskan Bosnia-Herzegovina 2-1 di Zenica.
Luxembourg, yang layak ke playoff untuk peluang terakhir kelayakan, kurang lima lagi mata di belakang selepas menewaskan Leichtenstein 1-0 di gelanggang lawan.
Bintang kelab Barcelona, Gavi, meninggalkan padang dengan kecederaan serius di bahagian lutut ketika Sepanyol menewaskan Georgia 3-1 untuk mengesahkan tangga teratas Kumpulan A di hadapan Scotland.
Pemain berusia 19 tahun itu dibentes dari belakang dalam separuh masa pertama, menyebabkan dia mengalami kecederaan yang memaksanya meninggalkan padang lebih awal.
“Ini adalah saat yang sukar,” kata jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente.
“Bagi persekutuan (bola sepak Sepanyol), bagi saya, bagi rakan-rakannya. Tetapi apa yang penting bagi dia dan untuk kelabnya.
“Kami kecewa dengan kecederaan ini. Bola sepak adalah sukan berisiko dan ini adalah bahagian yang buruk dalam sukan kami.”
Gol oleh Robin Le Normand dan Ferran Torres dan gol sendiri Luka Lochoshvili memastikan Sepanyol menewaskan Georgia, yang mengikat kedudukan 1-1 sebelum itu menerusi gol Khvicha Kvaratskhelia.
Scotland, yang sudah mengesahkan kelayakan ke Jerman, tuan rumah Euro 2024 sebelum perlawanan ini, perlu menewaskan Norway dan mengharapkan Sepanyol tercicir mata untuk menduduki tangga teratas kumpulan dan peluang undian lawan yang lebih mudah di pusingan pertama kejohanan.
Namun mereka gagal mempertahankan pendahuluan 3-2 sebelum Mohamed Elyounoussi menjaringkan gol penyamaan Norway pada minit ke-86 hasil umpanan Julian Ryerson. — AFP