Jaguh dari Serbia memenangi kejuaraan akhir musim tenis lelaki kali ketujuh apabila mudah menewaskan Sinner
TURIN: Novak Djokovic mencipta satu lagi rekod pada Ahad apabila memenangi kejuaraan akhir musim tenis lelaki, Final ATP buat kali ketujuh, apabila mudah menewaskan Jannik Sinner 6-3 dan 6-3 di sini, menyebabkan peminat tenis tertanya-tanya bila akhirnya dia mengakhiri penguasaan dalam sukan tenis lelaki.
Djokovic melangkah ke Final ATP pada akhir tahun di mana dia memenangi tiga kejuaraan Grand Slam dengan rekod keseluruhan sepanjang zaman 24 kejuaraan Grand Slam dan 40 kejuaraan Siri Master 1000.
Beliau akan berada pada minggu ke-400 sebagai pemain nombor satu dunia selepas melengkapkan satu lagi musim luar biasa – di mana dia juga melangkah ke final Wimbledon - apabila mengatasi Roger Federer dengan jumlah kemenangan di sini sebelum memenanginya buat kali ketujuh.
Jaguh dari Serbia berusia 36 tahun itu mencipta rekod baharu dengan menewaskan dua pemain muda terbaik ketika ini, Sinner di final dan Carlos Alcaraz di peringkat separuh akhir dengan menunjukkan bahawa dia masih mempunyai kemampuan dengan kejohanan di Sukan Olimpik 2024 Paris menyusul dan akan memburu satu-satu kejuaraan yang masih belum dimenanginya – pingat emas acara tenis lelaki.
“Sangat istimewa, salah satu musim terbaik yang pernah saya harungi, tiada keraguan. Untuk melengkapkan kejuaraan dengan satu kemenangan ke atas pemain hebat tuan rumah, Jannick, yang beraksi dengan cukup luar biasa minggu ini, ia sungguh hebat sekali,” kata Djokovic.
“Saya berasa sangat bangga dengan prestasi saya dalam dua hari terakhir – menentang Alcaraz dan Sinner, yang mungkin dua pemain terbaik dunia, selepas saya dan (Daniil) Medvedev ketika ini. Cara mereka bermain menyebabkan saya meningkatkan lagi tahap permainan saya.”
Sinner mengintai peluang untuk menjadi pemain pertama dari Itali yang memenangi kejohanan akhir musim ini dan dia kelihatan mampu melakukannya selepas menewaskan Djokovic di pusingan awal kejohanan.
Tetapi pemain berusia 22 tahun itu, sama seperti Alcaraz di separuh akhir, kelihatan gagal menangani permainan Djokovic, pemain yang dalam satu misi di mana prestasi terbaiknya muncul pada masa yang tepat dalam kejohanan ini.
Dalam satu bukti bagaimana pencapaian Sinner, pemenang empat kejohanan tahun ini, sejak dari tahun lepas di mana dia kelihatan mempunyai peluang menamatkan cabaran Djokovic pada kejohanan ini di pusingan awal, apabila kekalahan kepada Holger Rune akan memastikan Djokovic pulang awal.
Sinner menyelamatkan peluang Djokovic dan di final, dia menerima padah tetapi kualiti prestasinya pada kejohanan ini memberikan banyak keyakinan di Itali dan mencadangkan bahawa dia seharusnya mencabar kejuaraan Grand Slam pada musim hadapan.
“Kita sudah melihat hari ini bahawa masih ada banyak yang perlu dilakukan tetapi kita boleh melihat pencapaian positif dari musim ini,” kata Sinner.
“Apabila saya memulakan musim ini, saya adalah seorang pemain yang hanya mahu mencari pengalaman tetapi sekarang, saya mahu melihat pencapaian saya pada musim hadapan.”
Djokovic mengawal permainan dari awal dan tidak kelihatan tergugat walaupun dengan sokongan padu penonton tuan rumah.
Sama seperti ketika menentang Alcaraz di separuh akhir, Sinner kelihatan gagal mencari rentak untuk mencabar permainan Djokovic. — AFP