
SOFIA: Dua maut apabila angin ribut membadai Bulgaria dan negara jiran Romania kelmarin.
Hujan lebat dan salji menyebabkan bekalan elektrik terputus, serta menyekat atau menenggelamkan jalan raya di timur kedua-dua negara itu lalu mencetuskan perintah darurat di Varna, wilayah Laut Hitam Bulgaria.
Seorang wanita berusia 43 tahun maut ditimpa pokok tumbang di pusat bandar Varna pada lewat Sabtu, manakala dua kru ambulans yang bergegas ke tempat kejadian kemudiannya cedera ditimpa dahan pokok yang jatuh, menurut polis dalam satu kenyataan.
Sebatang pokok tumbang menimpa sebuah kereta yang melalui dataran pinggir bandar Sofia pada awal Sabtu, menyebabkan pemandu berusia 65 tahun terbunuh manakala isterinya yang cedera parah dimasukkan ke hospital, menurut pihak berkuasa.
"Angin kuat dan hujan lebat, serta salji di beberapa tempat juga membuatkan kerja-kerja oleh pasukan kecemasan menjadi sangat sukar pada waktu malam,” Datuk Bandar Varna Blagomir Kotsev berkata dalam satu kenyataan awal kelmarin sebelum mengumumkan perintah darurat serta menggesa penduduk agar terus berada di dalam rumah mereka.
“Bekalan tenaga terganggu di kesemua lima daerah perbandaran,” tambahnya.
Lapangan terbang Varna masih dibuka namun beberapa penerbangan ditunda atau dibatalkan.
Trafik kereta api turut terganggu apabila dahan dan pokok tumbang ke atas landasan.
Dua perbandaran kecil berhampiran Varna turut mengumumkan perintah darurat kelmarin.
Penurunan salji menimbus jalan utama di timur laut, dengan pihak polis tempatan menerima beberapa isyarat kenderaan yang terkandas.
Perkhidmatan cuaca negara Bulgaria mengeluarkan amaran kod jingga bagi angin kuat yang sangat berbahaya di seluruh bahagian timur Bulgaria kelmarin, memberikan amaran mengenai tiupan angin 100 sehingga 125 kilometer sejam (kmsj) dan gelombang sehingga lebih 5 meter di sepanjang pantai Laut Hitam.
Ribut turut membadai tenggara negara jiran Romania dan memaksa penutupan pelabuhan Laut Hitam.
Perkhidmatan cuaca Romania mengeluarkan amaran cuaca paling tinggi merah dengan hujan lebat dan angin kuat di dua wilayah Laut Hitam yang bersempadan dengan Bulgaria, sementara perkhidmatan kecemasan menghantar amaran ke telefon orang awam memaklumkan mereka agar tidak keluar ke mana-mana.
Ribuan isi rumah terputus bekalan elektrik, anggota bomba mengalihkan 140 pokok tumbang dan 40 kereta mengalami kerosakan, lapor perkhidmatan kecemasan tempatan.
“Mujur tiada mangsa maut atau cedera,” Anamaria Stoica, jurucakap perkhidmatan kecemasan di Constanta, memberitahu AFP.
Dua lelaki maut semasa siri cuaca buruk di Bulgaria awal bulan ini, sehari selepas Ribut Ciaran meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa di sekitar barat Eropah dan hanya dua bulan selepas empat maut dalam hujan lebat yang membanjiri beberapa bahagian di wilayah pantai Laut Hitam di selatan Bulgaria. - AFP